Sistem Penguatkuasaan Automatik atau biasa dikenali sebagai Automated Enforcement System (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalanraya (KEJARA) akan dilaksanakan serentak selewat-lewatnya Mac ini, ujar Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Menurut beliau lagi, keputusan pelaksanaan dua sistem berkenaan telah pun dibincangkan dan akan dibawa ke Kabinet secepat mungkin. Pelaksanaan AES dan KEJARA, menurut pihak kementerian adalah salah satu cara berkesan dalam mengurangkan nahas jalan raya.

“Kita tidak boleh lagi berdolak dalik dalam isu keselamatan. Kerajaan terpaksa ambil inisiatif yang serius iaitu kuatkuasakan semula AES. Menerusi KEJARA pula, kita akan tolak mata demerit pemandu. Bila disaman, kita akan tolak mata bergantung kepada kesalahan yang dilakukan. Bila sampai 20 mata, kita akan gantung lesen pemandu,” kata beliau lagi.

Terdahulu pada 18 Disember 2012, Peguam Negara memutuskan supaya pelaksanaan AES dikaji semula berikutan ia mendapat tentangan hebat daripada orang ramai dan pada Disember 2013, Dewan Rakyat telah sebulat suara membenarkan pihak kerajaan untuk mengambil alih Sistem Penguatkuasaan Automatik berkenaan. Buat masa ini, terdapat sekurang-kurangnya 14 buah kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik masih lagi berfungsi dengan baik.

Tambah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai lagi, “Tujuan utama kita nak selamatkan nyawa. Kerajaan tak berniat nak denda pemandu tetapi kita nak ubah sikap pemandu agar mereka bertanggungjawab terhadap jalan raya,”

-Sumber berita diperoleh dari News Straits Times, Sumber imej dari My News Hub

 

Tinggalkan komentar