Activision Blizzard tidak lama lagi bakal menjadi salah satu pengeluar kandungan permainan mudah alih terbesar setelah membeli syarikat pengeluar Candy Crush, King Digital Entertainment. Pembelian yang bernilai USD 5.9 billion (RM25.3 billion) ini masih perlu mendapatkan persetujuan dari para pemegang-pemegang saham King Digital Entertainment. Namun, dijangkakan pembelian ini masih dapat diteruskan tanpa ada sebarang masalah.
Pembelian King Digital Entertainment ini membolehkan Activision Blizzard menceburi pasaran mudah alih yang besar berdasarkan jumlah pengguna aktif sedia ada King yang mencecah 474 juta orang pada suku tahun ketiga 2015.
Pasaran permainan mudah alih buat masa ini sukar dikuasai oleh nama-nama besar pembangun permainan konsol dan PC. Seperti yang ramai sedia maklum, Activision merupakan pembangun bagi judul-judul permainan seperti Call of Duty dan Destiny, manakala Blizzard pula popular sebagai pembangun Diablo, Warcraft dan Starcraft.
Activision Blizzard kelihatan tidak berselindung dalam tindakan pembelian King Digital Entertainment ini dan berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan, syarikat pembangun permainan berkenaan turut merangka perancangan untuk memenuhi kehendak para pemain game kasual dan juga yang tegar. Pendapatan dari segmen mudah alih dijangka tumbuh secara kumulatif 50 peratus menjelang penghujung tahun 2019.
Berita ini walaupun menggembirakan pihak-pihak yang terlibat secara langsung di dalam pengambilalihan ini, ia memberikan reaksi dikalangan para penggemar permainan digital. Amalan niaga King Digital Entertainment dan kebergantungannya terhadap cara pembelian transaksi mikro tidak digemari oleh kebanyakan pemain.
Mungkin apa yang berlaku kemudian tidak mengejutkan memandangkan Activision sekarang ini pun sedang berdepan reaksi negatif dari peminat berhubung expansion pack untuk permainan Destiny.
-Sumber berita diperoleh dari BBC News













