Abbott Laboratories baru-baru ini telah mengumumkan pelancaran platform pengujian, ID NOW yang mampu mendapatkan hasil ujian COVID-19 dalam tempoh kurang dari 5 minit.

Platform ini digunakan bertujuan mendapatkan keputusan ujian dengan segera di mana-mana fasiliti kesihatan sama ada di pejabat kesihatan, klinik dan juga Jabatan Kecemasan hospital.

ID NOW merupakan sebuah sistem isothermal yang pantas berasaskan instrument untuk pengesanan kualitatif penyakit berjangkit, menurut Abbott. Ia menggunakan teknologi molekular dengan penguatan asid nukleik isothermal unik untuk meningkatkan darjah ketepatan dan boleh menyediakan hasil keputusan dalam masa hanya beberapa minit. Selain itu, ianya juga bersaiz kompak dan mudah dibawa dengan berat sekitar 3kg.

Menurut Presiden dan COO Abbbott, Encik Robert B. Ford, pandemik COVID-19 kini sedang ditempur di pelbagai medan. Melalui alat pengujian molekular segera mudah dibawa ini, ianya bakal memudahkan tugasan diagnostik bagi petugas barisan hadapan. Alat ini juga membolehkan petugas-petugas kesihatan menjalankan kerja-kerja pengujian di luar hospital dan institusi kesihatan.

Abbott bakal menyediakan alat pengujian ID NOW kepada petugas-petugas kesihatan di Amerika Syarikat pada minggu depan. Buat masa ini, Abbott juga sedang bekerjasama dengan pentadbiran kerajaan Amerika Syarikat bagi melaksanakan kerja-kerja pengujian di kawasan-kawasan wabak.

Tinggalkan komentar