Telefon pintar 5G terbaru keluaran Oppo didapati telah muncul di pangkalan data SIRIM dan telah menerima persijilan pada 1 Februari 2020 lalu. Didaftarkan dengan nombor model CPH2025, telefon pintar ini dijangkakan bakal hadir dengan nama Find X2 Pro.
Selain itu, model standard Find X2 juga berkemungkinan telah tiba di Malaysia berdasarkan laporan yang sama. Melalui perkembangan ini, dijangkakan kedua-dua model telefon pintar mercu terbaru keluaran Oppo ini bakal hadir ke pasaran Malaysia tidak berapa lama lagi.
Spesifikasi untuk kedua-dua model telefon pintar ini bagaimanapun masih lagi menjadi tanda tanya. Apa yang diketahui setakat ini, ia bakal hadir dengan paparan beresolusi 2K dengan kadar segar semula 120Hz, bersama-sama teknologi pengecasan pantas 64W SuperVOOC. Maklumat ini disampaikan oleh Timbalan Presiden Oppo, Brian Shen melalui platform media sosial berbahasa Cina, Weibo.
Terdapat juga khabar angin yang mengatakan Oppo Find X2 bakal menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 865 dan juga kemungkinan menampilkan paparan berukuran 6.5-inci.
Kehadiran Find X2 Pro ke pasaran Malaysia menjadikannya telefon pintar 5G kedua keluaran Oppo yang memasuki pasaran tempatan. Sebelum ini Oppo Reno 5G telah mendapat persijilan dari SIRIM pada 15 Januari baru-baru ini.
Sumber berita diperoleh dari SIRIM dan GizmoChina













