Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula dari 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020 bagi menyekat penularan wabak COVID-19. Sungguhpun begitu, rakyat Malaysia masih lagi dibenarkan untuk keluar mendapatkan barangan keperluan harian.

Selain itu, beberapa pengendali perkhidmatan penghantaran barangan keperluan masih lagi beroperasi seperti biasa. Berikut adalah senarai pengendali-pengendali yang menyediakan perkhidmatan penghantaran barangan keperluan harian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Tesco

Satu nama yang tidak asing lagi bagi pengguna-pengguna di Malaysia. Tesco turut menawarkan perkhidmatan pembelian barangan keperluan harian secara dalam talian. Waktu penghantaran yang disediakan meliputi setiap hari termasuk cuti am bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Pengguna boleh membuat tempahan seawal dari tempoh tiga minggu sebelum tarikh penghantaran, selain boleh memilih lokasi penerimaan barangan yang dipesan berkenaan.

Happy Fresh

Perkhidmatan penghantaran barangan keperluan harian ini juga menyediakan pilihan slot masa penghantaran mengikut kesesuaian pengguna. Slot masa boleh dipilih sama ada pada hari yang sama atau untuk tiga hari kemudian.

Beroperasi setiap hari termasuk cuti kelepasan am, Happy Fresh menyediakan waktu penghantaran dari jam 10 pagi hingga 9 malam. Selain itu, Happy Fresh agak unik kerana mempunyai pilihan mendapatkan barangan-barangan dari pelbagai pasaraya-pasaraya di Malaysia.

MyGroser

Bagi anda yang menginginkan barangan keperluan harian anda dihantar pada hari yang sama, MyGroser mungkin pilihan terbaik buat anda.

Anda boleh mendapatkan barangan keperluan harian anda dihantar di antara jam 9 pagi hingga 9 malam pada setiap hari termasuk hari cuti kelepasan am. Pesanan bernilai lebih dari RM100 tidak akan dikenakan caj perkhidmatan.

Mydin

Seperti Tesco, rangkaian pasaraya Mydin turut menyediakan perkhidmatan penghantaran barangan keperluan harian. Waktu penghantaran dibuka setiap hari termasuk cuti kelepasan am dari jam 10 pagi hingga 9 malam. Bagaimanapun, waktu penghantaran hanya akan dibuka sehari selepas pesanan dibuat.

Selain itu, Mydin turut menawarkan pilihan untuk pengguna mengambil sendiri barangan yang dipesan secara dalam talian di mana-mana pasaraya-pasaraya fizikal Mydin.

Bungkusit

Agak berbeza dari senarai perkhidmatan yang dinyatakan di atas tadi, Bungkusit menyediakan pelbagai perkhidmatan penghantaran selain dari barangan keperluan harian. Ia turut menyediakan khidmat penghantaran pesanan makanan dari restoran dan juga gerai makanan.

Setakat ini perkhidmatan penghantaran Bungkusit telah diperluaskan ke kawasan di luar Lembah Klang merangkumi Johor, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Mengambil kira penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan yang telah bermula ini, dijangkakan mungkin terdapat sedikit kelewatan dalam menerima barangan-barangan yang telah dipesan secara dalam talian.

Namun begitu, pengguna setakat ini masih lagi mempunyai pilihan untuk mendapatkan barangan keperluan harian memandangkan keda-kedai runcit termasuk 7-Eleven, Family Mart, 99 Speedmart dan sebagainya masih lagi dibuka.

Semoga kita semua dilindungi dari wabak ini dan dikurniakan kesihatan yang baik dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan ini dengan kekal di rumah masing-masing.

Tinggalkan komentar