Susulan sekatan perdagangan Amerika Syarikat ke atas Huawei, syarikat-syarikat teknologi utama di A.S. telah mula menghentikan pembekalan kepada syarikat China berkenaan. Mengikuti jejak langkah Google, syarikat A.S. lain yang turut sama melakukannya kini termasuklah pengeluar cip terbesar dunia iaitu Intel dan Qualcomm.
Menurut laporan dari Bloomberg, pengeluar-pengeluar cip berkenaan telah memaklumkan kepada kakitangan masing-masing untuk memberhentikan bekalan produk ke Huawei sehingga notis selanjutnya. Lain-lain pengeluar cip dari Amerika Syarikat seperti Broadcom dan Xilinx turut melakukan perkara yang sama.
Walaupun Huawei telah menggunakan pemprosesan HiSilicon keluarannya sendiri untuk kebanyakan produknya dan juga untuk di bawah jenama HONOR, masih terdapat banyak lagi perantinya yang menggunakan Qualcomm. Untuk pemprosesan Intel pula, pembekalannya banyak dikhususkan untuk pelayan dan juga notebook keluaran Huawei.
Dalam perkembangan yang sama, Huawei dilaporkan mempunyai bekalan yang cukup untuk syarikat berkenaan meneruskan operasinya selama sekurang-kurangnya tiga bulan. Sekatan berkenaan membuatkan syarikat elektronik dari China ini perlu mempertimbangkan pilihan mereka secepat mungkin kerana ia melibatkan kesan yang amat meluas dalam industri telekomunikasi global.
Sumber berita diperoleh dari Bloomberg













