Tindakan Google memberhentikan sokongan Android terhadap Huawei bagi mematuhi arahan sekatan perdagangan oleh kerajaan A.S. mungkin sudah dijangkakan oleh Huawei. Sebelum ini terdapat laporan yang mengatakan Huawei sedang membangunkan sistem operasi sendiri dan perkara ini disahkan oleh salah seorang pegawai kanan Huawei, Richard Yu.
Terkini, menerusi maklumat paten yang tertiris memberikan petunjuk bahawa sistem operasi berkenaan akan menggunakan nama sebagai Hongmeng.
Penyenaraian paten berkenaan menunjukkan Hongmeng akan digunakan sebagai program sistem operasi, program pengendalian komputer, perisian operasi komputer, dan sebagainya. Dengan kata lain, ia merupakan sebuah sistem operasi, sungguhpun tidak menyatakan secara terang-terangan. Ianya dijangka muncul sekitar penghujung September ini hingga awal tahun depan untuk digunakan pada telefon, komputer, tablet, TV, kereta, dan peranti boleh pakai.
OS ini juga dikatakan boleh serasi dengan semua aplikasi Android dan boleh dikompilasikan semula untuk tujuan meningkatkan prestasi, sama seperti dilakukan oleh ChromeOS. Samsung sebelum ini juga pernah melakukan cara yang sama melalui sistem operasinya, Tizen. Namun, perkembangan kali ini adalah berbeza kerana Huawei akan menggunakannya sebagai pengganti kepada Android dan juga Microsoft Windows.
Berdasarkan tahap populariti Huawei yang kian membesar, penyelesaian segera untuk mengatasi krisis ini pastinya sudah menjadi satu kewajiban. Amat menarik jika pembangunan sistem operasi terbaru ini mampu direalisasikan dan kita boleh melihat bagaimana Huawei mampu memecahkan duopoli industri OS peranti mudah alih yang dikuasai oleh Android dan iOS.
Sumber berita diperoleh dari CNbeta













