Di dalam keadaan pandemik COVID-19 yang semakin menular pada ketika ini, bekalan peralatan perubatan seperti topeng muka kian menyusut. Beberapa syarikat teknologi seperti Sharp dan Razer juga telah mengubah fungsi kilang penghasilan masing-masing untuk menghasilkan topeng muka.

Baru-baru ini, Yayasan Alibaba yang dinaungi oleh Jack Ma telah mengumumkan pemberian sumbangan bekalan peralatan perubatan untuk empat buah negara-negara ASEAN. Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand akan menerima sumbangan dalam bentuk 2 juta topeng muka, 150,000 kit pengujian, 20,000 sut pakaian perlindungan dan 20,000 pelindung muka. Yayasan berkenaan juga turut menyatakan akan menyediakan bantuan yang sama ke negara-negara Asia lain.

Berdasarkan kenyataan melalui Twitter, Yayasan Jack Ma telah pun memberikan sumbangan ke beberapa buah negara termasuk Perancis, Slovenia, Sepanyol, Itali dan Belgium.

Selain bantuan berbentuk peralatan perubatan, kedua-dua yayasan ini juga telah menerbit dan mengagihkan buku panduan digital berkenaan COVID-19. Antara kandungan buku panduan tersebut turut merangkumi tatacara dan kaedah terbaik dalam mendepani wabak ini berdasarkan pengalaman baris hadapan doktor, jururawat dan petugas-petugas kesihatan yang pernah menghadapi wabak ini.

Tinggalkan komentar