Zoom, platform persidangan video yang popular tetapi berkontroversi kerana masalah keselamatan kini cuba mempertingkatkan mutunya. Antara fungsi terbaru yang diperkenalkan adalah membolehkan pengguna melaporkan pencerobohan tetamu yang tidak diundang.
Penambahan fungsi merupakan respon kepada peningkatan kes ‘Zoom Bombing’. Aktiviti yang dikenali sebagai Zoom Bombing ini adalah tindakan individu yang tidak dijemput menceroboh masuk sesi Zoom untuk tujuan mengganggu (pranking).
Fungsi terbaru ini dijangka bakal hadir di dalam kemaskini yang dijadual disediakan pada 26 April 2020. Pemilik akaun dan pentadbir sesi mesyuarat boleh menghidupkan tetapan ini bagi membenarkan hos melaporkan kehadiran penceroboh mesyuarat.
Laporan dari pengguna akan dihantarkan ke pasukan Zoom Trust & Safety untuk dinilao sebagai penyalahgunaan platform dan akan menyekatnya dari menggunakan Zoom jika perlu.
Ketua Pegawai Produk Zoom, Encik Oded Gal turut mencadangkan para pengguna mengambil tangkapan skrin jika pencerobohan berlaku. Rakaman video mesyuarat Zoom juga boleh digunakan untuk membantu menjejak penceroboh.
Dalam keadaan semakin banyak negara di dunia yang melaksanakan perintah kawalan pergerakan dengan cara masing-masing, penggunaan tele-persidangan dalam talian kian meningkat. Pertambahan bilangan pengguna di dalam platform seperti Zoom ini juga secara tidak langsung mengundang pelbagai anasir jenayah-jenayah siber.













