Hujung tahun lalu YTL telah mengumumkan pembangunan model bahasa raya (large language model, LLM) buatan tempatan Ilmu 0.1. Keunikannya terletak keistimewaannya di dalam bahasa Melayu dan memahami konteks rakyat Malaysia. Kini, YTL telah mengumumkan pelaksanaan chatbot melalui model tersebut yang dinamakan sebagai ILMUchat.
Selain memahami bahasa Melayu, model berkenaan juga memahami dialek tempatan lain seperti Kedah, Kelantan, Perak dan juga bahasa rojak. Ia boleh digunakan untuk membantu anda menulis surat kiriman rasmi atau bertutur di dalam bahasa istana.
Dari segi konteks tempatan, salah satu demonstrasi menunjukkan kefahamannya dengan menyediakan cadangan kembara ke pekan-pekan di Malaysia. Turut dipersembahkan penjelasannya mengenai larangan penggunaan senjata api di Malaysia.
Di dalam versi awalnya, chatbot berkenaan akan menumpukan pada penjanaan teks sebelum diperluaskan kepada imej dan suara. Dalam pada masa yang sama, YTL akan melancarkan ILMUchat sebagai akses awal kepada orang ramai pada Hari Malaysia, 16 September ini. Anda yang berminat boleh mendaftar di laman web ilmu.ai.
Untuk perniagaan, beberapa syarikat telah pun mempunyai akses ke ILMU, dan boleh mengintegrasikannya ke proses kerja. Antara syarikat tersebut termasuklah Yes, Ryt Bank, Astro, Carsome dan Media Prima. YTL juga menyatakan akan mengintegrasikan model bahasa raya ini ke sistem inforia Proton bermula dengan X50 baharu.