YTL Communications, syarikat penyedia rangkaian mudah alih Yes 4G mengumumkan akan mula menjalankan pengujian Facebook Terragraph pada 18 Februari ini. Percubaan ini merupakan yang percubaan paling besar di Asia untuk penggunaan teknologi mudah alih terbaru ini.
Dilaporkan mampu menyediakan kelajuan pada kadar gigabit pada kos yang lebih rendah dari optik gentian, Terragraph merupakan teknologi mudah alih berbilang mod yang disalurkan menerusi spektrum 60GHz dan berdasarkan piawaian WiGig.
Sungguhpun ianya direka bagi menyediakan sambungan di peringkat jalanan, sistem ini boleh disambungkan ke rangkaian Ethernet dalaman di dalam bangunan-bangunan tinggi.
Di dalam sebuah acara beberapa bulan yang lepas, Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Encik Wing Lee mendakwa rangkaian ini mampu mencapai kelajuan 1Gbps dengan kependaman (latency) bawah 1ms sewaktu pengujian peringkat dalaman dilakukan. Beliau turut menambah bahawa prestasi rangkaian ini juga lebih baik dari sebahagian rangkaian mudah alih berteknologi 5G.













