Yood akhirnya kini telah mengaktifkan akses 5G kepada penggunanya selepas mengacahkan ciri tersebut sejak awal bulan ini. Pelaksanaan teknologi rangkaian generasi berikutnya ini tidak akan ditawarkan secara serentak kepada seluruh pengguna buat masa ini. Sebaliknya ia akan diperkenalkan secara percubaan kepada penggunanya bermula dari hari ini.

Akses secara percubaan tersebut ditawarkan kepada pengguna sedia ada dan baharu dengan memohon melalui aplikasi Yoodo. Pas percubaan yang boleh ditambah secara percuma ini boleh digunakan pada mana-mana peranti Android yang menyokong dan berada di kawasan liputan 5G.

Untuk pengguna yang mempunyai pelan yang sedang aktif, anda perlu menukarkan pelan anda jika ingin mengaktifkan rangkaian 5G berkenaan. Ini bermakna anda perlu membuat langganan baharu walaupun langganan sedia ada anda masih lagi belum sampai tarikhnya.

Pas rangkaian 5G ini juga boleh digunakan pada mana-mana pelan data berkelajuan tinggi 10GB dan ke atas. Sambungan rangkaian 5G berkenaan akan menggunakan kuota dari data asas dan juga dari penambahan-penambahan yang ditawarkan. Ini bermakna, pelanggan yang melanggan pelan kurang dari 10GB atau pelan tanpa had tidak dapat menyertai pelan percubaan 5G dari Yoodo ini.Yoodo 5G subscription

Menurut laman soalan-soalan lazim Yoodo, pengguna juga boleh menggunakan 5G ketika di dalam perayauan melalui langganan pas Roam Like Home. Bagi fungsi hotspot pula, rangkaian berkelajuan tinggi ini boleh digunakan sebagai hotspot jika peranti yang digunakan menyokong 5G.

Pas percubaan 5G Yoodo ini juga  boleh digunakan melalui eSIM dan ini mengurangkan keperluan untuk anda mendapatkan kad SIM fizikal. Yoodo setakat ini tidak menjelaskan bilakah percubaan percuma ini akan tamat dan akan dijadikan sebagai penambahan atau booster kelak.

Tinggalkan komentar