Kumpulan penyedia kandungan torrent popular, YIFY telah disahkan menutup operasinya. Ini berikutan laman web yang dioperasikan oleh kumpulan berkenaan, YTS telah diberhentikan sejak dua minggu yang lalu.

YIFY merupakan kumpulan yang bertanggungjawab menyediakan kandungan torrent untuk filem-filem yang terbaik di internet melalui penerbitan filem-filem berkualiti tinggi pada saiz yang kecil serta amat konsisten dalam memenuhi permintaan para pengikutnya.

Sehingga kini masih tiada lagi pengumuman rasmi yang dikeluarkan dari kumpulan berkenaan walaupun laporan dari TorrentFreak menyebut berita penutupan ini telah disahkan dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

TorrentFreak turut mendakwa telah menerima beberapa maklumat tambahan berkenaan isu ini, namun telah dinasihatkan untuk tidak mendedahkannya dalam masa yang terdekat ini.

Cuma, apa yang difahamkan buat masa ini adalah penutupan YIFY dilakukan secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak termasuk agensi penguatkuasaan.

Dijangkakan, akan terdapat beberapa kumpulan lain akan muncul untuk mengisi kekosongan yang telah ditinggalkan oleh kumpulan YIFY ini. Tidak mustahil, ianya mungkin kualitinya tidak akan sama sebagaimana yang telah disediakan sebelum ini termasuklah dari segi kualiti fail dan juga tahap konsistensinya. Boleh dikatakan, ini merupakan penamat kepada era muat turun filem cetak rompak atas talian.

Kesannya turut dirasai oleh sesetengah aplikasi tontonan filem cetak rompak seperti Popcorn Time memandangkan ‘pembekal’ utama filem-filem untuk aplikasi ini kebanyakan datangnya dari YIFY.

Beberapa laman web palsu YIFY dan YTS muncul sejak dari beberapa minggu kebelakangan ini dan para pengguna dinasihatkan untuk menjauhkannya atas sebab-sebab keselamatan.

-Sumber berita diperoleh dari TorrentFreak

1 komen

Tinggalkan komentar