Xiaomi secara rasminya telah menurunkan harga untuk siri Redmi Note 8 dengan pengurangan sebanyak RM100.
Buat masa ini, harga Redmi Note 8 bermula dari RM599 untuk model 4GB + 64GB. Manakala untuk model 4GB + 128GB pula, harga yang ditawarkan RM699.
Bagi Redmi Note 8 Pro pula, harganya kini ditawarkan pada RM899. Telefon pintar dengan lensa utama 64MP ini hanya menawarkan model 6GB +128GB untuk pasaran Malaysia.
Redmi Note 8 diumumkan pada Oktober tahun lalu bersama-sama Redmi Note 8 Pro. Telefon pintar ini menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 665, bersama-sama RAM sehingga 4GB dan storan 128GB. Ia menampilkan paparan bertakuk Full HD+ 6.3-inci dengan sebuah lensa swafoto 13MP.
Dibelakangnya pula, Redmi Note 8 menyediakan modul kuad-kamera mengandungi lensa utama Samsung ISOCELL GM1 48MP, ultra lebar 8MP, makro 2MP dan lensa kedalaman 2MP. Telefon ini menggunakan bateri 4,000mAh.
Seterusnya untuk Redmi Note 8 Pro pula, ia menggunakan cipset MediaTek Helio G90T dan paparan lebar 6.53-inci Dot Drop Full HD+. Ia mempunyai RAM 6GB LPDDR4X dan storan dalaman UFS 2.1 128GB.
Apa yang membezakan versi Pro dengan Note 8 adalah kamera utama di belakangnya. Ia masih sama menawarkan kuad-kamera, namun dibezakan pada lensa utama Samsung ISOCELL GM1 64MP.
Harga terbaru Redmi Note 8 Pro ini sama dengan Redmi Note 9S yang dilancarkan sekitar April lalu. Beza antara kedua-dua telefon pintar ini adalah pada pemilihan cipset dan kameranya. Redmi Note 9S menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 720G dan lensa utama kamera belakang 48MP. Lensa utama ini bagaimanapun bukanlah dari Samsung.
Kedua-dua Redmi Note 8 dan Note 8 Pro kini boleh didapati menerusi kedai rasmi Xiaomi dan juga melalui wakil-wakil pengedar yang sah.













