Xiaomi telah mengumumkan ciptaan konsep cermin mata pintar yang dikenali sebagai Xiaomi Smart Glasses. Peranti ini masih lagi belum ada perancangan untuk dijual, namun Xiaomi telah mempertontonkan konsep penghasilannya.

Dari segi rekaan, cermin mata ini berbentuk sama seperti cermin mata konvensional lain. Cuma, ia dibezakan pada paparannya yang boleh digunakan untuk fungsi realiti imbuhan (augmented reality).

Menurut Xiaomi, pihaknya menggunakan sistem MikroLED monokrom atas sebab ketumpatan piksel yang lebih tinggi serta jangka hayat yang lebih panjang berbanding OLED.

Selain itu, MikroLED juga membolehkan lebih banyak paparan dapat dimampatkan, serta membenarkan integrasi antara skrin yang lebih baik.

MikroLED merupakan teknologi paparan swa-pancar (self-emissive) yang kebanyakan pihak berpendapat akan berkesinambungan dengan OLED kelak.

Bagaimanapun, kos penghasilan teknologi paparan ini masih lagi tinggi dan tidak digunakan secara meluas di dalam produk-produk komersial.

Paparan ciptaan Xiaomi dikatakan hanya sebesar sebutir beras sahaja iaitu 2.4mm x 2.02mm dengan kadar kecerahan sehingga 2 juta nits. Kadar kecerahan ini bagaimanapun tidak dijadikan begitu silau pada mata pemakainya. Ia bertujuan dapat digunakan dalam keadaan yang terang-benderang seperti di siang hari.

Xiaomi turut menyatakan cermin mata pintar ini boleh dimanfaatkan untuk tujuan navigasi arah, terjemahan secara langsung, dan notifikasi lain di atas paparannya.

Cermin mata berkenaan juga dikatakan bebas dari sambungan telefon pintar Android dan Xiaomi menyatakan ia tidak mustahil akan menggantikan telefon pintar satu ketika nanti.

Untuk spesifikasinya, ciptaan konsep Xiaomi Smart Glasses ini mempunyai cipset ARM empat-teras, modul Wi-Fi dan Bluetooth, bateri dan kamera 5MP.

Tinggalkan komentar