Diperkenalkan pada awal tahun ini, Xiaomi telah mengumumkan Redmi Go akan dilancarkan ke pasaran Malaysia dalam minggu ini juga. Sesuai dengan spesifikasi bajetnya, telefon pintar ini dioperasikan dengan Android Oreo Go.
Telefon pintar ini hadir dengan paparan skrin LCD HD 5.0-inci bersama-sama cipset empat teras Qualcomm Snapdragon 425. Untuk pasaran Malaysia, versi yang boleh didapati kelak adalah versi RAM 1GB dan storan 8GB. Tidak dilupakan, ia juga turut menyokong slot kad mikro SD yang boleh menampung sehingga 128GB.
Didatangkan dengan sokongan dwi-SIM, telefon pintar ini turut menawarkan sebuah kamera utama 8MP f/2.0 di belakangnya bersama-sama sebuah kamera swafoto 5MP f/2.2 di bahagian depannya. Bateri yang disediakan untuknya berkapasiti 3,000mAh.
Boleh didapati hanya dengan warna hitam sahaja, Redmi Go terbaru ini boleh didapati pada harga RM299 bermula 13 April ini. Telefon pintar ini bakal dijual di seluruh negara melalui Mi Store dan juga kedai atas talian rasminya di Lazada dan Shopee.













