Pelbagai desas-desus timbul berkenaan telefon pintar terbaru keluaran Xiaomi yang dikatakan bakal menampilkan paparan bernisbah 18:9. Setakat ini masih belum ada sebarang kenyataan rasmi dari Xiaomi berhubung telefon pintar terbaru yang khabarnya akan dikenali sebagai Redmi Note 5.

Tetapi, bukan telefon pintar Xiaomi tersebut sahaja yang menawarkan paparan nisbah 18:9. Terkini, Xiaomi telah mengeluarkan iklan ejek yang menampilkan dua buah telefon pintar model baru – Redmi 5 dan Redmi 5 Plus yang menggunakan paparan pada nisbah yang sama.

Iklan tersebut menampilkan kumpulan pop dari China, SNH48 dan diterbitkan melalui halaman Weibo Xiaomi beberapa jam lalu. Bukan itu sahaja, iklan tersebut turut menyatakan kedua-dua telefon pintar Xiaomi ini akan dilancarkan secara rasminya 7 Disember ini.

Lain-lain maklumat seperti spesifikasi lengkap berkenaan Redmi 5 dan Redmi 5 Plus masih lagi belum didedahkan. Jika maklumat yang tertiris sebelum ini betul, Redmi 5 akan hadir dengan paparan 5.7-inci HD+ , Qualcomm Snapdragon 450, RAM 3GB, storan dalaman 16/32GB, kamera belakang 12MP dan kamera hadapan 5MP.

Manakala untuk Redmi 5 Plus pula, ia akan menyediakan paparan 5.99-inci FHD+, Qualcomm Snapdragon 625, berserta sistem dwi-kamera pada bahagian belakangnya dengan tetapan penderia 12MP dan 5MP.

Betul, tak betul maklumat ni, kita tunggu pelancaran rasminya pada minggu depan.

Sumber berita diperoleh dari Gizmochina

Tinggalkan komentar