Selepas menyepi sepanjang tahun 2019, POCO kini kembali dengan POCO F2 Pro. Telefon pintar ini secara asasnya merupakan Redmi K30 Pro yang dijenamakan semula.

Bagaimanapun pihak Xiaomi masih belum menyatakan bilakah tarikh ianya akan dilancarkan sungguhpun POCO F2 telah menerima persijilan SIRIM.

Dari segi spesifikasi, POCO F2 Pro menampilkan paparan HDR10 Plus 6.67-inci dengan nisbah skrin-ke-kerangka 92.7 peratus. Skrin ini juga mempunyai kadar pensampelan sentuhan 180Hz berserta penderia cap jari terbina dalam paparan. Telefon pintar ini juga mempunyai kamera swafoto yang boleh di pop-naik pada sebelah atasnya.

Dilengkapkan dengan cipset 5G Snapdragon 865, POCO F2 Pro hadir dengan RAM LPDDR5 8GB berserta storan UFS 3.1 sehingga 256GB. Melalui bateri berkapasiti 4,700mAh, telefon pintar ini juga menyokong pengecasan pantas 30W yang mampu dicaskan sepenuhnya dalam tempoh 63 minit.

POCO F2 juga mempunyai fungsi penyejukan LiquidCool Technology 2.0 yang membantu mengawal suhu terutamanya ketika pengguna sedang pulun main game.

Bahagian belakangnya menempatkan sekelompok modul-modul kuad-kameranya. Kamera tersebut mengandungi sebuha lensa Sony IMX686 64MP, lensa ultra-luas 123 darjah 13MP, lensa telemakro 5MP dan sebuah lensa berkedalaman 2MP.

POCO F2 Pro kelak bakal menjadi telefon pintar Xiaomi ketiga di pasaran Malaysia yang menggunakan cipset Snapdragon 865 selepas Mi 10 dan Mi 10 Pro. Dijangkakan, POCO F2 Pro bakal hadir dengan harga yang lebih rendah berbanding telefon pintar siri Mi 10. Untuk kamera swafotonya yang ditempatkan pada sebelah atas menawarkan satu lensa 20MP dengan keupayaan rakaman gerak perlahan.

Telefon pintar ini turut menyediakan IR Blaster, penyambungan NFC, Bluetooth, Wi-FI 6 serta satu bicu audio 3.5mm. Tidak ketinggalan, telefon pintar ini menggunakan antaramuka POCO Launcher 2.0 yang berasaskan Android 10.

Terdahulu, telefon pintar ini telah dilancarkan untuk pasaran global dengan harga EUR499 (~RM2,345) untuk variasi 6GB + 128GB dan EUR599 (~RM2,820) untuk variasi 8GB + 256GB.

Tinggalkan komentar