Bagi kebanyakan pengguna, Xiaomi merupakan sebuah jenama yang amat berbaloi dengan harga yang ditawarkan. Justeru, mengakui hakikat ini Xiaomi telah mengeluarkan jenama sampingan baru bagi memperkukuhkan doktrin tersebut, Poco.
Jenama sampingan dari Xiaomi berkenaan juga baru-baru ini telah pun mengeluarkan produk pertamanya, Poco F1. Telefon pintar Poco F1 ini tampil dengan spesifikasi, rekaan dan juga bahan kerangka peringkat mercu, tetapi pada harga yang lebih rendah berbanding telefon pintar yang setara dengannya.
Poco F1 menggunakan chipset Qualcomm Snapdragon 845, bersama-sama RAM 8GB dan storan dalaman 256GB bersama-sama paparan bertakuk 6.18-inci Full HD+.
Pada bahagian kamera utamanya, telefon pintar ini dilengkapi dengan sistem dwi-kamera, 12MP dan 5MP. Manakala kamera hadapannya pula dilengkapi dengan penderia 20MP.
Untuk ciri keselamatan, telefon pintar ini menyediakan pengimbas cap jari pada bahagian belakangnya. Kamera hadapannya juga turut boleh digunakan untuk menyahkunci melalui pengecaman wajah. Poco F1 turut menyediakan bateri berkapasiti 4,000 mAh dengan sokongan Quick Charge 3.0, labuhan USB Type-C dan bicu audio 3.5mm.
Terdapat empat jenis model Poco F1 diumumkan sewaktu majlis pelancarannya yang diadakan di India. Model 6GB/64GB dijual pada harga Rs. 20,999 (lebih kurang RM 1,233). Manakala model 6GB/128GB pula dijual dengan harga Rs. 23,999 (RM 1,409).
Tidak ketinggalan, model 8GB/256GB dijual dengan harga Rs. 28,999 (RM 1,703) dan untuk model premium Armoured Edition, ianya dijual pada harga Rs. 29,999 (RM 1,762). Model premium berkenaan lebih tinggi harganya berbanding model-model lain disebabkan kerangkanya dibuat menggunakan bahan gentian aramid DuPont Kevlar.
Xiaomi dan Poco setakat ini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan tarikh keberadaan telefon pintar ini di pasaran-pasaran di luar India.
Sumber berita diperoleh dari Poco India