Selain melancarkan telefon Xiaomi Mi Mix 4 dan juga tablet Xiaomi Mi Pad 5, Xiaomi turut memperkenalkan model baharu bagi televisyen pintarnya, siri Xiaomi Mi TV 6 OLED.
Televisyen yang berkesinambungan dari Mi TV 5 ini telah menaik taraf pada panel paparannya yang kini menggunakan skrin OLED yang menyokong resolusi Ultra HD 4K dengan kadar penyegaran semula 60Hz. Paparan ini juga mempunyai bingkai nipis berukuran 4.6mm, menjadikan nisbah skrin-ke-kerangkanya 97%. Paparan ini juga mampu mencapai tahap kecerahan sehingga 800 nits.
Siri Mi TV 6 ini juga mempunyai nisbah kontras 1,000,000:1, warna “True 10-bit” dan pemalap DC. Televisyen pintar Xiaomi ini juga mempunyai persijilan penarafan keselamatan mata TUV, Dolby Vision dan peningkatan tontonan IMAX rasmi.
Xiaomi menawarkan dua pilihan ukuran saiz skrin iaitu 55-inci dan 65-inci untuk siri televisyen baharunya ini. Cipset bagi televisyen ini kedua-duanya menggunakan MediaTek 9638 yang turut dilengkapkan bersama-sama RAM 3GB dan storan dalaman 32GB. Terdapat empat unit pembesar suara disediakan untuk televisyen pintar ini yang mempunyai output sebanyak 12.5 Watt.
Televisyen pintar Xiaomi ini juga menyediakan input HDMI x3, USB 2.0 x 2, AV (mini), S/PDIF, antena dan juga Bluetooth 5.0. Tidak ketinggalan, Mi TV 6 OLED ini menggunakan sistem operasi MIUI for TV 3.0.
Harga televisyen pintar Xiaomi Mi TV 6 OLED
Televisyen pintar baharu Xiaomi ini akan dijual di pasaran China dengan harga seperti berikut:
- Xiaomi Mi TV 6 OLED, 55-inci – RMB5,699 (~RM3,721)
- Xiaomi Mi TV 6 OLED, 65-inci – RMB7,699 (~RM5,028)













