Nampaknya, bukan Redmi Note 9 dan Redmi Note 9 Pro sahaja yang dilancarkan di Malaysia pada 11 Mei ini. Acara pelancaran yang dijadualkan berlangsung secara dalam talian ini turut memperkenalkan Mi Note 10 Lite.

Sepertimana yang dilaporkan sebelum ini, beza utama di antara Mi Note 10 Lite dan model lain yang lebih tinggi spesifikasinya adalah pada kameranya.

Mi Note 10 Lite menampilkan lensa utamanya, Sony IMX686 64MP berbanding lensa utama Mi Note 10 yang menggunakan Samsung ISOCELL Bright HMX108MP.

Begitu juga pada lensa-lensa lain Mi Note 10 Lite yang berbeza dengan Mi Note 10. Tiga lagi lensa berkenaan adalah lensa ultra lebar 8MP, lensa makro 2MP dan lensa berkedalaman 5MP. Untuk kamera swafotonya pula, model telefon pintar Xiaomi ini menawarkan sebuah lensa 16MP.

Selain itu, Mi Note 10 Lite menampilkan paparan AMOLED Full HD+ 6.47-inci dan cipset Qualcomm Snapdragon 730G bersama-sama RAM 8GB dan storan dalaman 128GB. Melengkapkan spesifikasinya adalah bateri berkapasiti 5260mAh yang menyokong pengecasan pantas 30W.

Setakat ini masih belum lagi diketahui berkenaan harga Mi Note 10 Lite di Malaysia. Sebagai perbandingan, Mi Note 10 ketika dilancarkan dijual pada RM 2,099. Manakala Mi Note 10 Pro pula dijual dengan harga RM 2,499. Oleh itu, Mi Note 10 Lite ini sepatutnya kita menjangkakannya dijual pada harga yang lebih rendah berbanding kedua-dua model tersebut.

Tinggalkan komentar