Xiaomi secara rasminya telah melancarkan telefon pintar baharunya, Mi MIX 4 sebentar tadi. Telefon Xiaomi baharu ini menampilkan cipset mercu dari Qualcomm iaitu Snapdragon 888+.
Apa yang menarik dengan paparannya yang menawarkan skrin AMOLED FHD+ 6.67-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz ini ialah terdapat sebuah kamera swafoto 20MP dibawah skrinnya.
Skrin ini juga mempunyai sokongan Dolby Vision dan HDR10+ khusus untuk tontonan kandungan HDR. Paparan hampir nirbingkai ini juga dilindungi oleh kaca tahan lasak Gorilla Glass Victus.
Bersama-sama cipset mercu Qualcomm padanya, telefon Xiaomi ini juga menawarkan pilihan memori sehingga 12GB, dan storan dalaman sehingga 512GB.
Xiaomi Mi MIX 4 menggunakan tenaga bateri berkapasiti 4,500mAH yang menyokong pengecasan pantas secara berwayar 120W dan juga secara nirwayar 50W.
Selain dari kamera swafoto di dalam skrin seperti yang dinyatakan tadi, bahagian belakang telefon Xiaomi ini menyediakan sistem kamera yang terdiri daripada tiga sensor. Kamera utamanya mempunyai sensor 108MP yang turut disokong oleh sensor telefon 8MP dan sensor ultra-lebar 13MP. Menariknya sensor telefoto telefon ini mampu melakukan zum sehingga 50X.
Tidak ketinggalan, telefon Xiaomi ini juga mempunyai pembesar suara stereo Harman Kardon dan sokongan Ultra Wide Band (UWB) untuk mengawal peranti-peranti Internet of Things (IOT) anda.
Harga telefon Xiaomi Mi MIX 4
Berikut adalah harga jualan Xiaomi Mi MIX 4 bagi pasaran China:
- Xiaomi Mi MIX 4 RAM 8GB, storan 128GB – RMB4999 (~RM3260)
- Xiaomi Mi MIX 4 RAM 8GB, storan 256GB – RMB5299 (~RM3456)
- Xiaomi Mi MIX 4 RAM 12GB, storan 256GB – RMB5799(~RM3782)
- Xiaomi Mi MIX 4 RAM 12GB, storan 512GB – RMB 6299 (~RM4108)
Setakat ini masih belum diketahui bilakah telefon Xiaomi baharu ini akan memasuki ke pasaran tempatan.













