Antara peranti yang dinanti-nantikan, Xiaomi Mi Mix 2 kini telah dilancarkan secara rasmi. Ia menampilkan penambahbaikan yang ketara jika dibandingkan dengan generasinya yang terdahulu berserta paparan dengan nisbah aspek 18:9.

Syarikat yang berpangkalan di China ini giat menjalankan penambahbaikan pada model telefon pintar ini setelah menerima sambutan yang menggalakkan oleh pengguna terhadap Mi Mix yang asal. Oleh yang demikian, tidak hairan jika Mi Mix 2 tampak lebih kemas dan elegan berbanding modelnya yang terdahulu dengan bingkai paparannya yang lebih kecil.

Selain dari bingkai paparan, Mi Mix 2 turut menyediakan kelainan pada speaker fizikal yang sedikit tersorok pada bahagian atas skrinnya. Menurut Xiaomi, telefon pintar ini menggunakan “speaker berpandu bunyi” di mana membran speaker yang terletak di bawah skrin bersambungan ke lubang bunyi melalui tiub berpandukan bunyi.

Pun begitu, penderia hampir jarak (proximity sensor) ultra bunyi masih lagi dikekalkan dan ia ditempatkan di lapisan bawah paparan.

Lain-lain, Mi Mix 2 turut mengekalkan penderia cap jari di tempat yang sama di bawah lensa kamera belakangnya. Bercakap tentang kamera, telefon pintar ini menggunakan tetapan kamera tunggal, menggunakan penderia Sony IMX 386 bergandingan dengan OIS 4-paksi.

Dari sudut spesifikasinya, Xiaomi Mi Mix 2 dikuasakan oleh chipset Snapdragon 835, RAM 6GB dan storan pilihan 64GB, 128GB, dan 256GB. Paparannya adalah 5.99-inci dengan nisbah aspek 18:9 beresolusi 2160 x 1080 berserta bateri berkapasiti 3,400mAh. Ia dicaskan melalui sambungan USB Type C. Namun begitu, telefon pintar ini tidak disertakan bersama bicu fon kepala. Telefon pintar ini menyokong LTE untuk 43 jenis jalur di seluruh dunia, menandakan ia bukannya dikhususkan untuk pasaran China sahaja.

Model Mi Mix 2 turut hadir dengan edisi khas, Mi Mix 2 Special Edition yang menampilkan kerangka seramik penuh, berbanding Mi Mix 2 biasa yang menggunakan kerangka aluminium aloi dengan permukaan seramik di bahagian belakang. Ia turut dibezakan dengan spesifikasi memori yang dipertingkatkan kepada 8GB RAM dengan satu sahaja pilihan storan, 128GB.

Xiaomi Mi Mix 2 boleh diperolehi dengan tiga pilihan konfigurasi: 6GB RAM + storan 64GB, 6GB RAM + storan 128GB, dan 6GB RAM + storan 256GB. Masing-masing akan dijual pada harga 3,299 Yuan (lebih kurang RM2,130), 3,599 Yuan (lebih kurang RM2,320), and 3,999 Yuan (lebih kurang RM2,580). Setakat ini, Xiaomi Mi Mix 2 masih belum diumumkan tarikh kehadirannya ke pasaran antarabangsa.

Sumber berita diperoleh dari The Verge, Maklumat lanjut tentang Xiaomi boleh didapati di sini.

 

Tinggalkan komentar