Xiaomi telah mempertontonkan inovasi telefon pintar terbarunya dengan memperkenalkan teknologi Mi Charge Turbo. Piawaian pengecasan tanpa wayar ini menyokong sehingga 30W. Satu lingkaran penerima nanokristal 5-lapisan digunakan dengan tahap kecekapan penukaran sehingga 98 peratus, seterusnya mampu mengawal suhu ketika mengecas pada tahap rendah.
Menurut Xiaomi, teknologi ini mampu mengisi 50% dari bateri berkapasiti 4,000mAh dalam tempoh 25 minit. Untuk memenuhkannya pula, ia akan mengambil masa sehingga 69 minit. Sebagai perbandingan dengan teknologi sebelumnya melalui Mi 9 yang menyokong sehingga 20W mampu mengecas 30% dari bateri berkapasiti 3,300mAh dalam tempoh 30 minit.
Bagaimanapun, keputusan yang dicapai berdasarkan teori ini pada kebiasaannya lebih tinggi berbanding penggunaannya dalam keadaan sebenar. Namun, teknologi yang ditawarkan ini mampu mempercepatkan tempoh pengecasan sesebuah peranti.
Teknologi pengecasan tanpa wayar Mi Charge Turbo 30W telah disahkan oleh pihak Xiaomi bakal digunakan pada Mi 9 Pro 5G. Tidak dapat dipastikan sama ada alat pengecas pantas akan disertakan bersama pembeliannya atau perlu dibeli secara berasingan seperti Mi 9.
Pihak Xiaomi juga turut mendedahkan pihaknya kini sedang membangunkan teknologi pengecasan tanpa wayar 40W dan kini sedang berada di dalam peringkat pengujian.
Sumber berita diperoleh dari XDA Developers













