Apabila mula diperkenalkan di India pada tahun 2017 dahulu, Mi A1 bukan sekadar membawa perubahan terhadap perkembangan Xiaomi, malah memberi kesan positif terhadap hala tuju ekosistem peranti-peranti Android One. Sebelum kemunculannya, Android One diperkenalkan sebagai antara muka peranti-peranti peringkat permulaan yang kini diambil alih tempatnya oleh Android Go.

Hari ini kita bakal melihat kemunculan peranti Android One generasi ketiga berdasarkan maklumat yang dihebahkan oleh Xiaomi melalui akaun-akaun media sosialnya beberapa hari lepas. Bagaimanapun, tarikh pelancarannya ke pasaran global masih lagi belum diumumkan sungguhpun terdapat desas-desus yang mengatakan ianya bakal hadir di dalam bulan ini juga.

Pada masa yang sama, info-info mengenai peranti ini juga telah mula tertiris di dalam internet. Berdasarkan maklumat yang tertiris berkenaan, Mi A3 dikatakan bakal menggunakan cip Qualcomm Snapdragon 665 bersama-samam paparan Super AMOLED 6.08-inci. Di bawah paparan berkenaan turut dikatakan akan disediakan pengimbas cap jari dibawahnya, manakala kamera swafoto 32MP pula ditempatkan pada bahagian takuk di sebelah atasnya.

Di belakangnya pula, ia dikatakan dilengkapi dengan kamera utama 48MP disokong dengan kamera tambahan 8MP dan 2MP. Melengkapkan spesifikasinya adalah bateri berkapasiti 4,030mAh yang turut menyokong pengecasan pantas 18W.

Sumber berita dan imej cover diperoleh dari GSMArena

 

Tinggalkan komentar