Xiaomi baru-baru ini telah mengumumkan harga dan tarikh mula jualan bagi Mi A2 untuk pasaran Malaysia yang telah ditetapkan pada 3 Ogos ini dengan harga yang disarankan RM999.
Dari segi perkakasan, apa yang ditawarkan oleh Mi A2 sememangnya tidak boleh diperkecilkan dikalangan telefon-telefon pintar kategori pertengahan. Menawarkan paparan 5.99 inci 18:9 Full HD+, chipset Qualcomm Snapdragon 660, sistem dwi-kamera yang telah dipertingkatkan 12MP + 20MP, bersama-sama kamera hadapan 20MP yang turut dilengkapi dengan pencahayaan flash.
Pastinya, tarikan utama pada Mi A2 adalah disebabkan ianya merupakan peranti Android One. Bukan sekadar menawarkan Android versi stok, telefon pintar terbaru Xiaomi ini turut menjadi salah sebuah telefon pintar terawal yang bakal menerima kemaskini terbaru bagi sebarang kemaskini sistem operasi Android. Tidak mustahil andainya telefon pintar ini bakal menerima kemaskini terbaru Android P tidak berapa lama lagi.
Xiaomi Mi A2 secara rasminya akan mula dijual di Malaysia pada 3 Ogos ini. Majlis pelancarannya dijangka bakal diadakan pada tarikh berkenaan di Mi Store KLCC. Beberapa promosi turut bakal diadakan bersempena majlis berkenaan.













