Xiaomi secara rasminya telah mendedahkan Mi 10 dan Mi 10 Pro di China. Siri terbaru di kalangan telefon pintar model Mi ini pada asalnya dijadualkan bakal diperkenalkan ke peringkat global di dalam acara MWC 2020 di Barcelona.

Kedua-duanya, Mi 10 dan Mi 10 Pro menampilkan skrin lengkung 6.67-inci FHD+ AMOLED dengan kadar segera semula 90Hz dan kadar pensampelan sentuhan 180Hz. Telefon pintar model ini juga menyediakan rekaan berpenebuk lubang pada penjuru kiri atasnya bagi menempatkan kamera swafoto berlensa 20MP. Selain itu, kedua-dua model telefon pintar terbaru Xiaomi ini juga dilengkapkan dengan cipset Snapdragon 865, RAM LPDDR3 12GB, sokongan pengecasan nirwayar dan rakaman video 8K.

Xiaomi Mi 10 Pro

Spesifikasi khusus Mi 10 Pro menampilkan pilihan storan dalaman sehingga 512GB dan bateri berkapasiti 4,500mAh yang mampu dicaskan pada kuasa pengecasan pantas sehingga 50W melalui kabel dan 30W secara nirwayar. Untuk spesifikasi kamera utamanya pula, variasi Pro ini menyediakan tetapan kuad-kamera mengandungi lensa utama Samsung 108MP, lensa telefoto 12MP dengan zum 2x, telefoto panjang 8MP dengan zum hybrid 10X, dan lensa bersudut ultra luas 20MP.

Xiaomi Mi 10

Manakala untuk Xiaomi Mi 10 standard pula, pilihan storan dalaman tertinggi yang ditawarkan adalah 256GB. Untuk baterinya yang berkapasiti 4,780mAh pula mempunyai sokongan pengecasan pantas 30W melalui kabel dan nirwayar. Untuk kamera utamanya pula, ia juga menyediakan tetapan kuad-kamera, namun tidak sama seperti apa yang ditawarkan pada Mi 10 Pro. Misalnya, selain lensa utama 108MP, ia menawarkan lensa penderia kedalaman 2MP, lensa makro 2MP, dan juga lensa bersudut ultra-luas 13MP.

Harga yang ditawarkan berdasarkan konfigurasi untuk Mi 10 Pro merangkumi pilihan 8GB/256GB berharga CNY4999 (~RM2965), untuk 12GB/256GB pula berharga CNY5499 (~RM3260), dan akhir sekali 12GB/512GB berharga CNY5999 (~RM3558). Telefon pintar terbaru Xiaomi boleh didapati dengan dua pilihan warna iaitu Biru dan Putih.

Seterusnya untuk Xiaomi Mi 10 standard pula, ia ditawarkan dengan pilihan konfigurasi 8GB/128GB pada harga CNY3999 (~RM2370), 8GB/256GB berharga CNY4299 (~RM2550), dan 12GB/256GB pada harga CNY4699 (~RM2786). Pilihan warna yang boleh didapati adalah Peach, Hijau dan Hitam.

Xiaomi Mi 10 and Mi 10 Pro akan dijual di pasaran China bermula dari 14 Februari 2020. Sungguhpun Xiaomi menyatakan bakal melancarkan model telefon pintar ini pasaran Eropah dalam masa terdekat, tiada sebarang tarikh diumumkan setakat ini bagi memaklumkan keberadaan kedua-duanya ke pasaran tempatan.

Sumber berita diperoleh dari Xiaomi

Tinggalkan komentar