Tidak lama selepas pengumuman kehadiran Snapdragon 865 dari Qualcomm tahun lalu, Xiaomi telah mengumumkan akan menghasilkan Mi 10 menggunakan cipset berkenaan. Telefon pintar berkenaan juga dikatakan akan memiliki kamera utama 108MP dan bakal menemui pengguna sekitar suku pertama tahun 2020.
Berdasarkan laporan dari XDA baru-baru ini, empat peranti telah dinamakan di dalam kemaskini aplikasi Gallery MIUI yang menyokong foto 108MP. Nama-nama kod yang digunakan untuk peranti-peranti berkenaan adalah Rucana, Draco, Umi dan Cmi. Nama kod pertama dan kedua itu tadi dirujuk sebagai Mi Note 10 Pro, dan Mi Mix Alpha. Manakala dua lagi seterusnya merujuk kepada Mi 10 dan Mi 10 Pro.
XDA turut telah mendapatkan fail build.prop untuk dua peranti Xiaomi berkenaan yang menggunakan kod nama Umi dan Cmi. Berdasarkan penemuan yang diperoleh, XDA mendapati kemungkinan besar ia merujuk kepada Mi 10 dan Mi 10 Pro. Penemuan yang diperoleh dari maklumat ini menguatkan lagi kemungkinan kedua-dua peranti ini menawarkan kamera utama 108MP.
Fail build.prop berkenaan juga turut mengesahkan kedua-dua peranti Xiaomi tersebut bakal hadir dengan cipset Qualcomm Snapdragon 865 chipset. Turut disertakan maklumat mengenai antara muka yang digunakan iaitu MIUI 11 berasaskan Android 10.
Berdasarkan jangkaan, Mi 10 dan Mi 10 Pro bakal menemui pengguna dalam beberapa minggu ini dan maklumat rasmi mengenainya turut hadir dalam masa yang terdekat ini.
Sumber berita diperoleh dari XDA













