Xiaomi dijangka akan memperkenalkan Mi 10 selaku telefon pintar pertama keluarannya yang menggunakan cipset Snapdragon 865. Seorang pentiris tegar dari China yang biasanya boleh dipercayai kesahihannya telah mendedahkan telefon pintar mercu keluaran akan datang ini memiliki kamera 108MP, sama seperti Mi Note 10.

Jika maklumat ini didapati benar, telefon pintar ini bakal menjadi telefon pintar pertama yang menggunakan penderia kamera Samsung terkini bersama-sama cipset mercu Qualcomm terkini.

Xiaomi Mi 10 dijangka akan memiliki empat lensa untuk kamera utamanya dengan ciri reka bentuk yang sama dengan Mi 9. Untuk bahagian hadapannya pula, ia bakal dilengkapkan dengan paparan OLED dengan rekaan ‘punch-hole’ untuk kamera swafoto pada sebelah penjuru kanan atasnya.

Selain itu terdapat juga ura-ura yang mengatakan untuk variasi Pro telefon pintar ini, ia menawarkan fungsi pengecasan ultra-pantas 66W yang mampu mengecas sehingga penuh dalam masa 35 minit sahaja. Turut diperkatakan, Mi 10 akan memiliki bateri berkapasiti 4,800mAh.

Sumber berita diperoleh dari Droidshout

Tinggalkan komentar