Hari ini sebagaimana yang telah dijadualkan, Xiaomi telah melancarkan telefon pintar mercu pertamanya bagi tahun 2019, Xiaomi Mi 9.

Menawarkan paparan skrin Super AMOLED berukuran 6.39-inci bersama-sama takuk di tengah-tengah paparannya, Xiaomi Mi 9 dilengkapi dengan cipset Snapdragon 855. Pada paparannya juga turut menyediakan fungsi pengimbas cap jari yang terbina dalam skrinya.

Telefon pintar ini juga turut ditawarkan dengan pilihan RAM sama ada 6GB atau 8GB. Bagaimanapun, kedua-dua pilihan RAM berkenaan hadir dengan satu pilihan kapasiti storan dalaman sahaja iaitu 128GB sahaja.

Selaku penerima skor markah 107 dari DxOMark, Xiaomi Mi 9 mempunyai kelebihan pada kamera utamanya yang hadir dengan tetapan tri-kamera. Kamera-kamera tersebut digabungkan dengan gandingan perakam utama 48MP, penderia 12MP yang menyediakan fungsi telefoto, serta penderia 16MP selaku penyokong rakaman bersudut luas 117 darjah.

Bagi fungsi rakaman swafoto pula, kamera yang ditempatkan pada takuk bahagian paparan telefon pintar ini menyediakan satu kamera 20MP.

Melengkapkan spesifikasi Xiaomi Mi 9 ini, sebuah bateri berkapasiti 3300mAh disediakan bagi menampung keperluan tenaga telefon pintar ini bersama-sama sokongan pengecasan tanpa wayar berkuasa 20 Watt. Telefon pintar ini juga menyokong fungsi pengecasan pantas melalui kabel dengan kadar kelajuan dari sifar sehingga penuh dalam tempoh 60 minit.

Lain-lain ciri yang disediakan pada telefon pintar ini termasuklah “Game Mode” yang bertujuan menyediakan fungsi optimasi sewaktu permainan mudah alih dimainkan padanya. Sepertimana peranti-peranti Xiaomi lain, Xiaomi Mi 9 turut dilengkapkan dengan fungsi kawalan alatan elektronik melalui NFC dan juga sinaran infra-merah.

Xiaomi Mi 9 kini mula dijual di pasaran China pada harga 2999 Yuan (bersamaan lebih kurang RM1814) bagi pilihan RAM 6GB dan storan 128GB.

Sumber berita diperoleh dari Digit

Tinggalkan komentar