Xiaomi Malaysia dalam minggu akan mengadakan dua pengumuman besar. Salah satunya adalah promosi #ShopOnlineWithMi, dan satu lagi adalah pelancaran rasmi siri Xiaomi Mi 10.
Promosi #ShopOnlineWithMi akan berlangsung hari ini pada jam 2 petang hingga 3.30 petang secara live streaming di laman Facebook rasmi Xiaomi Malaysia.
Sepanjang strim langsung ini, Xiaomi akan memberikan kod baucar yang boleh digunakan untuk tawaran pembelian-dengan-pembelian (PWP) di gedung rasmi Xiaomi di Lazada.
Perlu diingatkan kod-kod tersebut hanya boleh digunakan sepanjang tempoh penstriman langsung tersebut sahaja. Antara penawaran yang diberikan adalah telefon Redmi Note 9S dan Mi Note 10 Pro.
Tidak ketinggalan peralatan elektrik rumah turut ditawarkan seperti Mi Air Purifier Pro dan Mi Robot Vacuum.

Pada 22 April ini pula, Xiaomi Malaysia akan melancarkan secara rasminya telefon pintar mercu siri Mi 10.
Telefon pintar mercu premium terbaru keluaran Xiaomi ini dilengkapkan dengan cipset Snapdragon 865 dengan RAM sehingga 12GB dan storan dalaman sehingga 512GB bergantung pada model. Kamera belakangnya yang hadir dengan tetapan kuad-kamera menawarkan lensa setinggi 108MP.













