Xiaomi secara rasminya memperkenalkan antaramuka baharunya HyperOS 3 yang berasaskan Android 16 dengan visual baharu. Beberapa ciri baharu juga diperkenalkan seperti Super Island bersama-sama peningkatan prestasi keseluruhan.

Super Island merupakan hab notifikasi yang berbeza dengan Dynamic Island yang terdapat pada Apple iPhone. Ia diletakkan pada bahagian atas skrin dan menyediakan maklumat terkini dari aplikasi dalam masa nyata. Antaranya tempahan tiket penerbangan, pemasa, mesej dan main semula muzik. Ia juga boleh memaparkan dua aktiviti secara serentak.

Selain dari Super Island, HyperOS 3 juga didatangkan dengan ikon aplikasi yang direka semula. Ia mempunyai rupa yang lebih ringkas mirip dengan ikon aplikasi pada iOS. Kemaskini baharu ini juga memperkenalkan skrin berkunci sinematik dan hiasan latar dinamik yang dikuasakan AI.

Satu lagi ciri menarik yang diperkenalkan pada antaramuka baharu ini – integrasi rentas peranti yang turut menyokong ekosistem Apple. Ia memudahkan pengguna menyambungkan peranti Xiaomi ke peranti-peranti termasuk iPhone, iPad dan Mac untuk pemindahan data.

Menurut Xiaomi, HyperOS 3 memberikan peningkatan prestasi sebanyak 15% ketika memainkan permainan disamping mengurangkan penggunaan kuasa sebanyak 9% dan GPU sebanyak 10%. Dari segi visual, antaramuka baharu ini juga menawarkan animasi sistem yang lebih lancar.

HyperOS 3 versi beta telah pun mula ditawarkan ke peranti-peranti yang layak bermula dari hari ini di China. Antaranya siri Xiaomi 15, Redmi K80 Pro, Redmi K80 Extreme Edition, Xiaomi Pad 7S Pro 12.5, dan Pad 7 Pro. Tidak dinyatakan bilakah kemaskini antaramuka baharu ini akan mula menemui pengguna di pasaran-pasaran lain.

Tinggalkan komentar