Xiaomi telah menukarkan penamaan pada pelbagai barisan produknya. Sebelum ini ia melibatkan penggunaan nama “Mi” dan kini giliran barisan produk “CC” pula. Telefon pintar peringkat pertengahan ini kini dikenali sebagai Xiaomi Civi.
Tumpuan utama model ini bukan sekadar pada kamera seperti pada Mi CC9 Pro. Kali ini ia lebih memberikan tumpuan terhadap ciri rekabentuknya luarannya untuk tampil lebih kelihatan anggun dan menawan.
Spesifikasi Xiaomi Civi
Telefon baharu Xiaomi ini dikuasakan oleh Snapdragon 778G yang mengandungi empat teras besar berasaskan Cortex-A78, GPU Adreno 642L dan modem 5G X53.
Sembilan lapisan grafena yang digunakannya pula bertujuan mengawal suhunya dari menjadi terlampau panas. GPU Adreno yang disediakan pula menyokong Variable Rate Shading yang mampu meningkatkan prestasi dengan pengurangan kualiti imej pada tahap minimum.
Paparan OLED Xiaomi CIVI berukuran 6.55-inci menyokong kadar penyegaran semula 120Hz dengan kadar pensampelan sentuhan pula pada 240Hz. Ia juga menyokong HDR10+ dan Dolby Vision dengan kadar kecerahan maksimum 950 nits.
Konfigurasi kamera belakang telefon baharu Xiaomi ini mengandungi sebuah sensor 64MP f/1.8, sensor ultra lebar 120ยบ 8MP f/2.2 dan sensor makro 2MP. Pada sebelah hadapannya pula disediakan kamera 32MP dengan fokus auto.
Dibekalkan dengan bateri berkapasiti 4,500mAh, telefon ini mampu bertahan lebih dari 24 jam penggunannya, menurut Xiaomi. Ia juga mampu dicaskan sepenuhnya dalam tempoh 45 minit menerusi pengecasan pantas 55W.
Tidak ketinggalan, telefon ini mengandungi pembesar suara dengan sokongan Dolby Atmos dan persijilan audio Hi-Res. Untuk audio secara berwayar, anda boleh menggunakan port USB-C pada Xiaomi Civi ini.
Xiaomi mengetengahkan rekaan luaran Civi yang amat nipis iaitu berketebalan 7mm dengan berat 166g sahaja. Telefon ini juga menampilkan kemasan matte lembut pada permukaan belakangnya.
Pra-tempahan Xiaomi Civi telah dimulakan di China sejak semalam dan mula memasuki pasaran pada 30 September ini. Harga Xiaomi Civi berkonfigurasi 8/128 GB berharga CNY2,600 (~RM1,674). Manakala untuk konfigurasi 8/256 GB pula berharga CNY2,900 (~RM1,880), seterusnya untuk konfigurasi 12/256 GB pula berharga CNY3,200 (~RM2,075).