Xiaomi secara rasminya telah melancarkan telefon pintar Civi 2 ke pasaran China. Tarikan utama peranti ini pastinya pada keupayaan swafotonya melalui dwi-kamera 32MP pada paparan hadapannya.

Ia juga menyediakan sistem pencahayaan hadapan dwi-tona dan peningkatan pengimejan berkuasa AI bagi menambahbaik kualiti imej dan video kamera-kamera hadapannya.

Xiaomi Civi 2 menampilkan panel paparan 10-bit 6.55-inci beresolusi FHD+, kadar penyegaran semula 120Hz, dan kadar pensampelan sentuhan 240Hz. Paparan ini juga hadir dengan sokongan Dolby Vision dan HDR10+ dan liputan warna gamut penuh DCI-P3.

Dwi-kamera hadapan dengan AI

Pada skrinnya juga disediakan paparan berpenebuk lubang yang menempatkan dwi-kamera 32MP dengan salah satunya kamera utama autofokus berapertur f/2.0 dan ultra lebar dengan sudut pandang 100-darjah. Bahagian atas bingkainya menampatkan sistem pencahayaan bahagian hadapan dwi-tona yang menampilkan empat LED yang didakwa mampu menyediakan “warna realistik” mengikut pelbagai keadaan persekitaran.

Perkakasan telefon pintar ini boleh dikategorikan sebagai peringkat menengah atas. Ia menggunakan cipset Snapdragon 7 Gen 1 5G yang digandingkan dengan RAM LPDDR4x 12GB dan storan dalaman UFS 2.2 sehingga 256GB. Baterinya berkapasiti 4,500mAh dengan sokongan pengecasan pantas melalui USB-C.

Selain dari itu, Xiaomi Civi 2 juga mempunyai sistem penyejukan cecair VC terbina dalam, pembesar suara dwi-stereo dengan sokongan Dolby Atmos, dan antaramuka Xiaomi MIUI 13 berasaskan Android12. Dari segi ketersambungannya pula ia menyediakan sokongan Wi-Fi 6, Bluetooth 5.2, dan NFC.

Kamera belakangnya juga tidak kurang hebatnya melalui tetapan tri-kamera yang mengandungi kamera utama 50 MP Sony IMX766, ultra-lebar 20 MP Sony IMX 376K dan makro 2MP. Ia juga menyediakan peningkatan imej berkuasa AI untuk kamera utamanya dan swafoto termasuk mod kecantikan dengan penjejakan 3D, pengkaburan imej latar dan banyak lagi.

Harga Xiaomi Civi 2

Xiaomi-Civi-2-China-1Xiaomi Civi 2 ditawarkan dengan pilihan warna White, Pink, Blue, dan Black.  Harganya pula adalah CNY 2,399 (~RM 1,543) untuk konfigurasi 8 GB + 128 GB trim, CNY 2,499 (~RM 1,607) untuk 8 GB + 256 GB, dan CNY 2,799 (~RM 1,800) untuk konfigurasi tertinggi 12 GB + 256 GB.

Tinggalkan komentar