Xiaomi, telah berjaya melakar sejarah tersendiri apabila merekodkan pengeluaran lebih daripada 400,000 unit kenderaan elektrik (EV) sepanjang tahun 2025.
Pencapaian ini dianggap luar biasa bagi syarikat yang baharu memasuki pasaran automotif dengan model pertamanya pada tahun 2024. Ia sekali gus membuktikan kemampuannya bersaing dengan jenama automotif yang lebih mapan.
Prestasi kukuh pada bulan Disember 2025, di mana lebih 50,000 jualan unit kenderaan menjadi faktor utama yang melonjakkan jumlah keseluruhan melampaui sasaran asalnya.
Kejayaan Xiaomi ini didorong oleh strategi penawaran produk yang pelbagai, bermula dengan model sedan SU7 yang dilancarkan pada Mac 2024.
Model sulung, SU7 terus mendapat sambutan dengan jualan sebanyak 12,520 unit direkodkan pada bulan November 2025 sahaja. Pun begitu, momentum sebenar jualan disumbangkan oleh model keduanya, YU7, yang merupakan sebuah SUV.
Sejak dilancarkan pada Jun 2025, model SUV YU7 yang dibina untuk bersaing secara langsung dengan Tesla Model Y telah menunjukkan prestasi jualan yang sangat memberangsangkan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Xiaomi, Lei Jun, model YU7 telah mencapai angka penghantaran sebanyak 150,000 unit dalam tempoh hanya enam bulan selepas pelancarannya.
Data jualan November menunjukkan peralihan minat pengguna kepada kenderaan utiliti yang lebih besar, di mana YU7 menyumbang sebanyak 33,729 unit daripada jumlah keseluruhan penghantaran syarikat pada bulan tersebut.
Perancangan automotif Xiaomi di masa hadapan
Berikut adalah perancangan masa hadapan Xiaomi bagi tahun 2026 dan seterusnya:
- Model Baharu 2026: Pelancaran dua model kenderaan elektrik jarak tambahan (EREV) yang menggunakan enjin petrol kecil untuk mengecas bateri, terdiri daripada SUV 7-tempat duduk dan SUV 5-tempat duduk.
- Kemaskini Model: Model sedan SU7 akan menerima versi facelift serta varian “eksekutif” baharu yang disasarkan untuk golongan profesional.
- Pengembangan Antarabangsa: Xiaomi mengesahkan rancangan untuk menembusi pasaran Eropah pada tahun 2027 dan kini sedang menjalankan ujian kenderaan di Jerman.
Bagi menyokong pertumbuhan pesat ini, Xiaomi telah memperluaskan rangkaian fizikalnya dengan agresif, memiliki 477 kedai runcit di 138 bandar di China serta 264 pusat servis menjelang akhir 2025.
Kombinasi teknologi pintar, harga yang kompetitif, dan strategi pengembangan infrastruktur yang pantas meletakkan Xiaomi sebagai pesaing utama dalam industri kenderaan elektrik global.













