Xiaomi secara rasminya mengumumkan cagak pengecas nirwayar 100W baharu. Dari segi rupa luarannya, ia kelihatan sama seperti model 80W sebelum ini yang dilancarkan pada tahun lepas.
Model yang menyokong pengecasan nirwayar sehingga 100W ini secara spesifiknya dikenali sebagai MDY-13-EL dan berwarna hitam dengan rona warna emas.
Dari segi spesifikasi, cagak pengecas nirwayar Xiaomi ini berasaskan teknologi pengecasan Qi standard dan mempunyai rekaan dwi-lingkaran.
Ia juga mempunyai kipas dinamik yang berfungsi apabila diperlukan dan boleh dicaskan melalui pengecas 120W Xiaomi. Satu kabel USB 6A juga disertakan dengan pembeliannya.
Pengecas nirwayar Xiaomi 100W MDY-13-EL akan dilancarkan di China bermula 16 Ogos ini dengan harga 599 Yuan (RM 390). Setakat ini tidak diketahui bilakah ia akan dilancarkan ke pasaran antarabangsa.













