Bulan lalu, Samsung telah mengumumkan penderia kamera telefon pintar paling tinggi resolusi setakat ini, ISOCELL Bright HMX 108MP 1/1.33″. Lanjutan dari pengumuman itu, Xiaomi dilaporkan akan menjadi yang terawal mengeluarkan telefon pintar dengan penderia berkenaan dan desas-desus mengatakan ianya bakal dilengkapkan pada Mi Mix 4.

Bagaimanapun, laporan terkini dari XDA Developers mengatakan syarikat pengeluar dari China berkenaan sedang membangunkan empat telefon pintar yang menampilkan penderia 108MP berkenaan sebagai kamera utamanya.

Keempat-empat projek pembangunan berkenaan diberikan nama kod masing-masing iaitu “tucana”, “draco”, “umi”, dan “cmi” dan kesemuanya didedahkan melalui kod di dalam aplikasi Mi Gallery MIUI.

Aplikasi berkenaan turut menambah sokongan tontonan foto beresolusi 108MP dalam resolusi penuh yang mungkin akan dikhususkan pada keempat-empat peranti yang sedang dibangunkan kelak.

Cuma berdasarkan laporan berkenaan, tiada sebarang kenyataan yang menyebut mengenai kemungkinan penderia Samsung 108MP ini akan ditempatkan pada Mi Mix 4. Tidak dapat dipastikan adakah desas-desus penggunaan penderia kamera berkenaan pada Mi Mix 4 adalah satu kesilapan atau sokongan berkenaan masih lagi belum ditambah ke dalam aplikasi Mi Gallery MIUI.

Sumber berita diperoleh dari XDA Developers

Tinggalkan komentar