Xiaomi sedang melakukan persiapan untuk mengumumkan siri 17 telefon pintar keluarannya dalam bulan ini. Menjelang tarikhnya yang kian hampir, Presiden Xiaomi Lu Weibing telah berkongsikan perbandingan antara Xiaomi 17 Pro Max dengan iPhone 17 Pro Max di Weibo.
Tujuannya untuk meyakinkan Xiaomi tidak meniru rekaan ruangan kameranya daripada Apple. Menurutnya, rekaan ini diinspirasikan daripada Mi 11 Ultra yang dilancarkan pada 2021. Tambahnya lagi, siri tersebut melangkau angka 16 dan terus ke 17 juga bukan bertujuan meniru Apple.
Siri Xiaomi 17 akan mula tersedia di pasaran China sebelum Oktober ini dan disahkan akan menjadi peranti pertama yang menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5.
Paparan kedua pada bahagian belakang Xiaomi 17 Pro Max boleh digunakan untuk memaparkan notifikasi. Ia juga boleh menguruskan panggilan, kawalan muzik, memaparkan maklumat perjalanan, kiraan detik dan juga menjadi pemidang tilik kamera belakang apabila berswafoto melaluinya. Menurut Lu Weibing, paparan kedua ini lebih kurang sama seperti paparan luaran telefon pintar boleh lipat gaya flip.













