Xiaomi telah mengumumkan tarikh pelancaran siri telefon pintar 14T keluarannya. Halaman khas untuk acara pelancaran tersebut juga kini telah dimuat naik dengan tarikh pelancaran rasmi telefon pintar tersebut turut dinyatakan akan berlangsung pada 26 September 2024.

Dijangkakan dua buah model baharu akan diumumkan pada tarikh tersebut iaitu 14T dan 14T Pro. Buat masa ini tiada maklumat rasmi untuk kedua-dua model tersebut terutamanya mengenai spesifikasi dan harganya.

Kemungkinan Xiaomi 14T akan mempunyai RAM 12GB dan storan 256GB dengan harga jualannya pada €649 (~RM3,105). Dalam pada masa yang sama, model Pro telefon pintar ini pula akan mempunyai RAM yang sama, cuma mempunyai storan yang lebih besar, 512GB pada harga €849 (~RM4,069). Tidak dapat dipastikan jika Xiaomi merancang untuk memperkenalkan konfigurasi-konfigurasi lain yang berbeza kapasiti RAM dan storannya.

Di dalamnya, untuk model standard dijangkakan akan menggunakan pemprosesan MediaTek Dimensity 8300-Ultra, manakala 14T Pro pula akan menggunakan Dimensity 9300+. Apa pun jua pemprosesannya, siri 14T ini akan menampilkan paparan AMOLED 6.67-inci dengan kadar penyegaran semula 144Hz.

Untuk kameranya, Xiaomi 14T dikatakan akan menampilkan kamera bersudut lebar Sony IMX906 1/1.56-inci, kamera telefoto 50MP dengan zum optikal 2.6x dan zum “setara optikal” 4x dan kamera bersudut ultra lebar 12MP. Kamera utama model Pro lebih besar pada 1/1.31-inci dan menggunakan sensor Light Fusion 900 dengan zum “setara optikal” 2x.

Apa yang masih lagi tidak diketahui adalah ketersediaannya dan juga harganya untuk pasaran tempatan. Dijangkakan maklumat mengenainya akan diketahui menjelang hari pelancaran rasminya siri Xiaomi 14T ini.

Tinggalkan komentar