Pasaran Malaysia akan menerima Xiaomi 13 Ultra tidak lama selepas pelancarannya ke pasaran global pada 12 Jun 2023. Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Xiaomi Malaysia, telefon pintar berkenaan dijadualkan akan tiba di pasaran tempatan pada 20 Jun 2023.

Setakat ini tidak dapat dipastikan model apa yang akan masuk di sini. Berdasarkan maklumat awal, Xiaomi 13 Ultra akan menampilkan cipset Snapdragon 8 Gen 2 dengan RAM sehingga 16GB, dan storan sehingga 512GB.

Ia juga menawarkan bateri berkapasiti 5,000mAh yang menyokong teknologi pengecasan pantas 90W. Selain itu, telefon pintar ini juga menyokong pengecasan secara nirwayar 50W dan pengecasan berbalik 10W.

Xiaomi 13 Ultra merupakan telefon pintar yang mengkhususkan pada keupayaan kameranya melalui penglibatan kerjasama dengan Leica. Ia menampilkan konfigurasi empat kamera yang mengandungi sensor Sony IMX989 50MP 1-inci dengan OIS dan apertur boleh laras, sensor telefoto Sony IMX858 50MP dengan zum optikal 3.2x dan OIS. Turut disediakan sebuah lagi sensor telefoto 50MP yang sama dengan zum optikal 5X dengan OIS. Kesemua lensa-lensa berkenaan merupakan dari jenis Leica Summicron.

Telefon pintar ini juga menggunakan paparan OLED LTPO dengan skrin 6.73-inci dan kadar penyegaran semula 120Hz. Selain menawarkan kadar kecerahan puncak 2600 nits, skrin Xiaomi 13 Ultra turut dilindungi oleh Corning Gorilla Glass Victus.

Di pasaran China, Xiaomi 13 Ultra hadir dengan tiga pilihan konfigurasi iaitu:

  • Xiaomi 13 Ultra, RAM 12GB + storan 256GB – 5999 CNY (~RM3868)
  • Xiaomi 13 Ultra, RAM 16GB + storan 512GB – 6499 CNY (~RM4190)
  • Xiaomi 13 Ultra, RAM 16GB + storan 1TB – 7299 CNY (~RM4706)

Pastinya, kebanyakan peminat-peminat Xiaomi tidak sabar untuk menantikan kehadiran telefon pintar baharu ini di pasaran Malaysia pada 20 Jun ini.

Tinggalkan komentar