Xiaomi telah melancarkan beberapa telefon pintar yang hebat pada tahun ini seperti Xiaomi 12 Pro dan Xiaomi 12S Ultra yang menampilkan sensor kamera berjenama Leica 50MP 1-inci. Kecuali 12 Pro, tiada satu pun telefon pintar premium keluaran Xiaomi di pasarkan ke luar China.
Untuk model premium berikutnya, Xiaomi menjanjikan akan melancarkannya ke pasaran global melalui Xiaomi 12T dan Xiaomi 12T Pro. Salah satu dari model tersebut, Xiaomi 12T Pro telah mencuri tumpuan dengan hadir menampilkan kamera 200MP.
Xiaomi 12T Pro
Xiaomi 12T Pro dibina berdasarkan rekabentuk 12 Pro. Ia menampilkan permukaan kaca berkabut (frosted) melengkung bersama-sama model kamera pada belakangnya. Pada hadapannya pula disediakan paparan AMOLED 6.67-inci 120Hz yang mampu menaikkan tahap kecerahannya sehingga 900 nits dalam keadaan yang memerlukannya.
Telefon pintar ini menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 yang digandingkan dengan pilihan RAM 8 atau 12GB dan storan UFS 3.1 sehingga 256GB. Menurut Xiaomi, kebuk wapnya 65% lebih besar dan 125% lebih tinggi terimaan bahan terma berbanding 11T Pro untuk penyejukan yang lebih baik.
Spesifikasi Xiaomi 12T Pro
| Telefon | Xiaomi 12T Pro |
| Cipset | Snapdragon 8+ Gen 1 |
| RAM | 8GB, 12GB |
| Storan | 128, 256GB |
| Paparan | 6.67″ FHD+ AMOLED, 120Hz AdaptiveSync, HDR10+, Dolby Vision, kecerahan puncak 900 nits, Pengimbas cap jari dalam skrin, Gorilla Glass 5 |
| Bateri | 5,000mAh, pengecasan pantas 120W |
| Kamera belakang | 200MP ISOCELL HP1 1/1.22″, f/1.69 aperture, lensa 8P, kamera ultra lebar OIS 8MP f/2.2 (medan pandangan 120°); kamera makro 2MP |
| Kamera depan | 20MP f/2.24 |
| Ketersambungan | 5G, Wi-Fi 6, Bluetooth 5.2, NFC, USB Type-C |
| Ukuran dan berat | 163.1 x 75.9 x 8.6 mm, berat 205g |
| Perisian | MIUI 13, Android 12 |
| Warna | Black, Silver, Blue |
Tumpuan utama pada 12T Pro adalah pada kamera belakangnya. Xiaomi menggunakan sensor Samsung 200MP ISOCELL HP1 1/1.22″ dengan apertur f/1.69 aperture dan lensa 8P sebagai kamera utamanya.
Ia mampu menggabungkan data dari 16 piksel sekelilingnya bagi memberikan imej 12.5MP yang lebih terperinci. Xiaomi juga memanfaatkan modul kamera yang besar ini dengan menawarkan zum dalam sensor 2x.
Cuma, kamera-kameranya yang lain tidak begitu mengujakan melalui ultra-lebar 8MP f/2.2 dan kamera makro 2MP. Untuk kamera hadapan pula, disediakan sebuah kamera 20MP f/2.24. Turut dimuatkan pelbagai mod-mod kamera lain seperti Night mode, Ultra Night video, dan rakaman video 8K.
Menguasakan telefon pintar ini adalah sebuah bateri 5,00mAh dengan sokongan pengecasan pantas 120W. Melalui pengecas yang disediakan di dalam kotak pembungkusannya, ia dikatakan mampu dicaskan sepenuhnya di dalam tempoh kurang dari 20 minit.
Xiaomi 12T
Xiaomi 12T mempunyai rekaan yang sama seperti model Pro. Cuma untuk pemprosesan ia menggunakan MediaTek Dimensity 8100 Ultra dan kamera utamanya pada bahagian belakang menggunakan 108MP. Lain-lain spesifikasi adalah lebih kurang sama di antara 12T dan 12T Pro.
Spesifikasi Xiaomi 12T
| Telefon | Xiaomi 12T |
| Cipset | MediaTek Dimensity 8100 Ultra |
| RAM | 8GB |
| Storan | 256GB |
| Paparan | 6.67″ FHD+ AMOLED display, 120Hz AdaptiveSync, HDR10+,kecerahan puncak 900 nits, Pengimbas cap cari terbina dalam skrin Gorilla Glass 5 |
| Bateri | 5,000mAh, pengecasan pantas 120W |
| Kamera belakang | 108MP ISOCELL HM6 1/1.67″, f/1.7 aperture, ultra lebar OIS 8MP f/2.2 (120° FoV); kamera makro 2MP |
| Kamera depan | 20MP f/2.24 |
| Ketersambungan | 5G, Wi-Fi 6, Bluetooth 5.2, NFC, USB Type-C |
| Ukuran dan berat | 163.1 x 75.9 x 8.6 mm, dan 202g |
| Perisian | MIUI 13, Android 12 |
| Warna | Black, Silver, Blue |
Harga Xiaomi 12T dan Xiaomi 12T Pro di Malaysia
Siri Xiaomi 12T telah mula dijual dengan pra-tempahannya mula dibuka bermula dari hari ini pada berharga RM1,999 dengan RAM 8GB dan storan 256GB. Bersempena pelancarannya, Xiaomi turut menawarkan Redmi Buds 3 Pro yang bernilai RM239 secara percuma untuk anda yang membuat pembelian melalui kedai rasmi Xiaomi di Lazada atau Shopee.
Xiaomi 12T Pro pula berharga RM2,699 untuk pilihan 8/256 GB dan RM2,999 untuk pilihan 12/256 GB. Sama seperti model standard 12T, Xiaomi akan menawarkan hadiah percuma Xiaomi Smart Band 7 Pro yang bernilai RM299 dan Redmi Buds 3 Pro yang bernilai RM239 untuk anda yang membuat pembelian di kedai fizikal Xiaomi. Untuk anda yang membuat pembelian di Lazada atau Shopee, anda akan menerima secara percuma Mi Watch yang bernilai RM469.
- Xiaomi 12T (8GB/256GB) – RM1,999
- Xiaomi 12T Pro (8GB/256GB) – RM2,699
- Xiaomi 12T Pro (12GB/256GB) – RM2,999

Redmi Buds 4 Pro dan Redmi Buds 4
Selain melancarkan siri Xiaomi 12T, gergasi teknologi dari China ini juga mengumumkan Redmi Buds 4 Pro dan Buds 4. Model Pro menampilkan dwi pemacu 10mm+6mm untuk main semula Audio Hi-Res melalui LDAC.
Xiaomi menyatakan sistem ANC pada earbud tersebut mampu membatalkan hingar sehingga 43dB. Ia juga menyediakan Adaptive Mode yang mana earbud itu sendiri akan menentukan tahap pembatalan hingar mengikut kadar hingar ambien.
Earbud dengan penarafan IP54 ini mampu bertahan sehingga 9 jam untuk sekali cas. Melalui bekas pengecasnya, ia mampu bertahan sehingga 36 jam.
Untuk Redmi Buds 4 pula, ia menampilkan pemacu dinamik 10mm, dengan ANC mampu membatalkan hingar sehingga 35dB. Hayat baterinya pula tidak sebaik model Pro dengan hanya mampu bertahan sehingga 6 jam sahaja.
















