Xiaomi telah memperlihatkan Xiaomi 12S Ultra Concept Edition yang hadir dengan ciri unik boleh dipasangkan dengan lensa khas seperti kamera DSLR. Telefon pintar ini mempunyai keunikan pada kamera belakangnya yang boleh dipasangkan dengan lensa Leica M Series bagi mempertingkatkan mutu fotografinya.
Video dan imej poster acah telefon pintar berkenaan telah pun dikongsikan oleh Xiaomi menerusi akaun Weibo rasminya. Berdasarkan iklan acah tersebut, telefon pintar berkenaan merupakan jenis andalan yang memberikan keutamaan pada ciri fotografi.
Telefon pintar tersebut juga akan menampilkan sensor kamera utama 1-inci pada bahagian belakangnya. Sensor ini juga boleh disesuaikan dengan lensa khas Leica M Series yang boleh dipasangkan pada bahagian modul kamera berkenaan.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Xiaomi dikatakan merupakan pengeluar pertama yang memperkenalkan telefon pintar yang boleh dipasangkan dengan lensa kamera khusus dari Leica. Ia seterusnya dapat memberikan pengalaman penggunaan telefon pintar mercu disamping dapat dijadikan sebagai peralatan fotografi profesional.
Ketua Pegawai Eksekutif Xiaomi Lei Jun turut berkongsikan beberapa maklumat berkenaan kamera tersebut. Xiaomi 12S Ultra akan menawarkan dua sensor 1-inci dengan salah satunya merupakan sensor biasa yang terdapat pada telefon pintar. Satu lagi sensor digunakan khusus untuk disesuaikan dengan lensa luarannya.
Modul kamera Xiaomi 12S Ultra Concept juga menempatkan lensa bersudut ultra lebar, cuma tiada lensa zoom disediakan. Fotografi telefoto pula dijangkakan mungkin akan ditawarkan pada lensa luaran tersebut.













