Xiaomi telah melancarkan kemaskini untuk siri telefon pintar mercunya melalui siri Xiaomi 12S di China. Bersama-sama model tertingginya, Xiaomi 12S Ultra, model standard 12S dan model yang lebih tinggi, 12S Pro, kedua-duanya merupakan versi yang dikemaskini dari siri telefon pintar mercu Xiaomi 12 yang dilancarkan pada hujung tahun lalu.
Xiaomi 12S standard dan Xiaomi 12S Pro dilihat tidak jauh bezanya dengan dengan Xiaomi 12. Ia hanya dibezakan sedikit pada panel permukaan belakangnya dan juga rekaan baharu kameranya yang diinspirasikan dari Leica.
Selain itu, terdapat label jenama Leica ditempatkan berhampiran kamera-kameranya di bahagian belakang. Ketiga-tiga model Xiaomi 12S ini juga merupakan peranti pertama Xiaomi yang menampilkan teknologi pengimejan dan perisian yang dibangunkan secara bersama dengan Leica. Ia membolehkan tangkapan imej RAW 10-bit yang telah dikalibrasikan oleh Adobe Labs.
Xiaomi 12S
Model standard Xiaomi 12S menampilkan paparan 6.28-inci dengan HDR10+, sokongan warna gamut P3 dan kadar penyegaran semula adaptif 120Hz. Ia juga menyediakan pengimbas cap jari terbina dalam skrin, pembesar suara dengan penalaan Harman Kardon dan port USB-C untuk pengecasan dan pemindahan data.
Menguasakannya adalah pemprosesan Snapdragon 8+ Gen 1 bersama-sama GPU Adreno 730 dengan RAM sehingga 12GB dan storan dalaman UFS 3.1 sehingga 256GB. Melalui bateri berkapasiti 4,500mAH dengan sokongan pengecasan berwayar 67W dan 50W secara nirwayar, Xiaomi 12S turut menyokong pengecasan berbalik nirwayar 10W.
Selain itu, ia juga didatangkan dengan antaramuka MIUI 13 yang berasaskan Android 12, serta sokongan ketersambungan NFC, Bluetooth 5.2 dan WiFi.
Untuk fotografinya, Xiaomi 12S dilengkapakan dengan tetapan tri-kamera yang mengandungi kamera utama Sony IMX707 50MP, ultra-lebar 13MP, dan kamera makro telefoto 5MP. Pada bahagian hadapannya pula disediakan sebuah kamera 32MP yang boleh juga digunakan untuk swafoto.
Xiaomi 12S Pro
Seterusnya, untuk Xiaomi 12S Pro yang menampilkan paparan AMOLED 6.73-inci yang sama seperti varian Ultra. Malah skrinnya ini juga memiliki resolusi 2K, sokongan warna gamut P3, dan kadar penyegaran semula adaptif 120Hz dan sensor pengimbas cap jari di bawah paparan. Pembesar suara stereo dengan penalaan Harman Kardon juga turut disediakan pada model ini.
Sama juga macam 12S, versi Pro ini juga menggunakan Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 dan GPU Adreno 730. Pilihan memorinya juga hampir sama cuma pilihan storan UFS 3.1 tertinggi yang ditawarkan bagi model ini sehingga 512GB.
Model ini juga menampilkan bateri yang sedikit besar dengan kapasiti sebanyak 4,600mAh yang didatangkan dengan sokongan pengecasan 120W secara berwayar dan pengecasan nirwayar 50W dan diuruskan oleh cipset Xiaomi Surge P1. Selain itu, ia juga didatangkan dengan antaramuka MIUI 13 berasaskan Android 12 dan juga ketersambungan NFC, Bluetooth 5.2 WiFi.
Dalam pada masa yang sama, model Pro ini juga hadir dengan tetapan tri-kamera yang mengandungi Sony IMX707 50MP, dan dua lagi sensor 50MP untuk kamera telefoto dan ultra lebar. Sama seperti adik beradiknya yang lain ia juga menempatkan kamera hadapan 32MP.
Xiaomi 12S dan Xiaomi 12S Pro juga dijangka akan mula dijual di China tidak lama lagi. Varian standard dijual pada harga bermula dari CNY4,000 (~RM 2,637) untuk konfigurasi 8GB + 128GB dan sehingga CNY 5,200 (~RM 3,428) untuk pilihan 12GB + 512GB. Xiaomi 12S Pro pula harganya bermula dari CNY 4,700 (~RM 3,099) untuk 8GB + 128GB, dan sehingga CNY 5,900 (~RM 3,890) untuk pilihan konfigurasi tertinggi 12GB + 512GB.
Sama seperti model Ultra, Xiaomi setakat ini masih belum menyatakan bilakah kedua-dua model ini akan dipasarkan ke rantau-rantau lain di seluruh dunia.













