Cipset Snapdragon 8 Gen 1 telah pun diperkenalkan boleh Qualcomm menerusi acara Sidang Kemuncak Snapdragon Tech dan bakal menguasakan sebilangan peranti Android mercu pada tahun hadapan. Beberapa pengeluar telah mengesahkan kehadiran peranti yang akan menggunakan cipset baharu berkenaan termasuklah Xiaomi.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Xiaomi, Encik Lei Jun telah mengesahkan penggunaan cipset Qualcomm baharu tersebut pada Xiaomi 12.

Beliau tidak menceritakan dengan lebih lanjut mengenai Xiaomi 12. Namun, menyatakan siri telefon pintar tersebut bakal menjadi telefon pintar pertama yang menggunakan Snapdragon 8 Gen 1.

Malah, beliau juga tidak mendedahkan tarikh pelancaran telefon pintar terbaru keluarannya dan setakat ini, khabar angin mengatakan ia akan diperkenalkan pada 12 Disember ini.

Pun begitu, akaun Twitter rasmi Xiaomi telah berkongsikan klip video pendek yang menyatakan pengeluaran Xiaomi 12 telah dimulakan. Ia juga menyatakan telefon tersebut akan datang ke pasaran tidak berapa lama lagi.

Xiaomi 12 mungkin bukan akan menjadi telefon pintar pertama menggunakan Snapdragon 8 Gen 1 di dunia. Motorola mungkin akan menjadi yang terawal melalui Edge X30 yang akan dilancarkan pada 9 Disember ini.

Selain Xiaomi dan Motorola, pengeluar lain seperti OnePlus, OPPO dan iQOO juga telah mengesahkan pelancaran telefon pintar yang menggunakan Snapdragon 8 Gen 1.

Tinggalkan komentar