Siri Xiaomi 11T telah diumumkan secara global pada minggu lalu. Kedua-dua model telefon pintar mercu Xiaomi ini akan hadir ke pasaran Malaysia pada Khamis, 23 September 2021.
Harga dan tarikh kemasukannya ke pasaran tempatan bagi Xiaomi 11T dan 11T Pro ini akan diumumkan ketika acara secara dalam talian berkenaan dilangsungkan.
Bagi anda yang ingin mengikuti acara pelancaran berkenaan, anda boleh mengunjungi laman Facebook rasmi Xiaomi Malaysia dan saluran Youtube Xiaomi Malaysia.
Spesifikasi umum Xiaomi 11T
Xiaomi 11T menampilkan paparan AMOLED Full HD+ 6.67-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Ia dikuasakan oleh cipset MediaTek Dimensity 1200 Ultra dengan gandingan RAM LPDDR4X 8GB. Untuk storannya, terdapat dua pilihan iaitu 128GB dan 256GB UFS 3.1.
Kamera Xiaomi 11T dilengkapkan dengan tetapan tri-kamera yang mengandungi sensor utama 108MP, ultra lebar 8MP dan telefoto makro 5MP. Kamera swafotonya pula dilengkapkan dengan sebuah sensor 16MP.
Tiada pengimbas cap jari disediakan pada paparannya kerana fungsi berkenaan ditempatkan pada butang kuasa di sebelah sisinya. Telefon Xiaomi ini juga menyediakan sepasang pembesar suara stereo dengan sokongan Dolby Atmos.
Bateri yang digunakan berkapasiti 5,000mAh, serta menyokong pengecasan pantas 67W melalui USB-C dan mampu mengecas sepenuhnya dalam tempoh hanya 36 minit sahaja.
Spesifikasi umum Xiaomi 11T Pro
Xiaomi 11T Pro kelihatan mirip dengan mode standardnya. Namun mempunyai beberapa perbezaan yang ketara. Telefon Xiaomi ini menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 888 berbanding model standar yang menggunakan MediaTek.
Untuk memorinya pula, telefon ini hadir dengan RAM LPDDR5 sehingga 12GB dengan pilihan storan UFS 3.1 sama ada 128GB atau 256GB.
Kamera dan paparannya masih sama dengan apa yang ditawarkan pada model standard. Bagi pembesar suaranya pula, model Pro ini diperkayakan dengan penalaan khas oleh Harman Kardon.
Pun begitu, Xiaomi 11T Pro menyokong pengecasan pantas Xiaomi HyperCharge yang boleh dicas dari sifar hingga penuh dalam tempoh 17 minit sahaja. Tidak ketinggalan, sebuah pengecas 120W turut disediakan bersama-sama kotak pembungkusan telefon Xiaomi ini.
Di Eropah, Xiaomi 11T secara rasminya dijual pada harga €499 (~RM2,449). Manakala model 11T Pro pula dari €649 (~RM3,185). Dijangkakan harga bagi telefon Xiaomi ini di Malaysia adalah lebih murah daripada harga pasaran Eropah apabila dijual kelak.
Xiaomi Malaysia turut dijangka akan mengumumkan peranti-peranti lain termasuk tablet Xiaomi Pad 5 di dalam acara berkenaan.













