Xiaomi telah mengumumkan dua buah model terbaru untuk siri Xiaomi 11. Model yang diperkenalkan ini merupakan varian T untuk telefon mercu berkenaan dan hadir sebagai Xiaomi 11T dan Xiaomi 11T Pro.

Kedua-duanya menawarkan spesfikasi perkakasan dan ciri yang hampir sama, tetapi dibezakan pada cipset dan kelajuan pengecasannya.

Melalui paparan AMOLED 6.67-inci, Xiaomi 11T dan Xiaomi 11T Pro turut menyokong HDR10+ dan kadar penyegaran semula 120HZ. Pun begitu, model kali ini tidak menyediakan pengimbas cap jari terbina dalam skrin.

Pengimbas cap jarinya ditempatkan pada butang kuasa pada sebelah kanan telefon Xiaomi baharu ini. Selain itu, Xiaomi 11T dan Xiaomi 11T Pro didatangkan dengan sokongan Bluetooth 5.2 dan NFC, Wi-Fi 6, 5G, pembesar suara stereo dan juga penarafan kerintangan air dan debu IP53.

Untuk Xiaomi 11T, ia menggunakan cipset MediaTek Dimensity 1200 dengan pilihan memori sehingga 8GB dan storan 256GB. Manakala untuk Xiaomi 11T Pro pula, ia dikuasakan oleh Qualcomm Snapdragon 888 dengan pilihan RAM sehingga 12GB dan storan UFS 3.1 256GB.

Walaupun kedua-dua telefon Xiaomi ini menggunakan bateri berkapasiti 5,000mAh, ia tidak mempunyai kadar pengecasan yang sama. 11T Pro mempunyai sokongan pengecasan HyperCharge 120W yang mengambil masa cuma 17 minit sahaja untuk penuh.

Dari segi fotografi, kedua-dua model ini mempunyai tri-kamera dan swafoto yang sama. Kamera belakangnya dilengkapkan dengan sensor utama 108MP f/1.75, ultra sudut lebar 8MP f/2.2 dan telemakro 5MP.

Kamera untuk Xiaomi 11T ini juga mempunyai sokongan ciri tambahan seperti AI Cinema, Audio Zoom, rakaman 8K dan banyak lagi.

Melalui tiga pilihan warna iaitu Meteorite Gray, Moonlight White, danĀ  Celestial Blue, siri T baharu ini boleh didapati pada harga dari EUR499 (~RM2,452) untuk Xiaomi 11T. Manakala Xiaomi 11T Pro pula ia dijual pada harga EUR649 (~RM3,190).

Tidak dapat dipastikan bilakah telefon Xiaomi terbaru ini akan hadir ke pasaran Malaysia setakat ini.

Tinggalkan komentar