Dilancarkan bersama-sama siri Xiaomi 11T, Xiaomi 11 Lite 5G NE turut mengiringi ke pasaran Malaysia. Model ini merupakan varian lebih mampu milik bagi telefon mercu Xiaomi tahun ini.

11 Lite 5G NE dilengkapkan dengan spesifikasi dan ciri yang sama seperti yang ditawarkan pada model asalnya yang dilancarkan pada Mac lalu. Ia hanya dibezakan pada jenis cipset yang digunakannya sahaja.

Xiaomi 11 Lite 5G NE menawarkan paparan DotDisplay AMOLED 6.55-inci beresolusi 1080 x 2400 dengan kadar penyegaran semula 90Hz. Paparannya juga menyokong TrueColor 10-bit dan Dolby Vision.

Pada sebelah sisinya disediakan pengimbas cap jari, dan juga pembesar suara stereo. Telefon Xiaomi ini juga hadir dengan kerintangan debu dan percikan air bertaraf IP53, serta perlindungan kaca Corning Gorilla Glass 5  pada paparannya.

Cipset yang digunakan oleh telefon Xiaomi ini adalah Qualcomm Snapdragon 778G, berbanding Xiaomi 11 Lite pada Mac lalu yang menggunakan Snapdragon 732G.

Ia hadir bersama-sama konfigurasi memori sehingga 8GB dan storan sehingga 256GB, bersama-slot kad mikroSD untuk storan tambahan. Telefon Xiaomi ini juga menggunakan bateri berkapasiti 4,250mAh yang menyokong pengecasan pantas 33W melalui USB-C.

Pada bahagian belakangnya terdapat tri-kamera yang sama iaitu kamera utama 64MP, ultra lebar 8MP, dan telemakro 5MP. Selain dari fungsi biasa fotografi dan rakaman video, Xiaomi 11 Lite 5G NE turut menyediakan fungsi One-click AI Cinema, penapis video sinematik dan mod Vlog. Di sebelah hadapannya pula disediakan sebuah kamera 20MP yang boleh digunakan untuk swafoto.

Xiaomi 11 Lite 5G NE telah mula dijual pada hari ini 24 September dengan harga bermula dari RM1,399. Ia hadir dengan pilihan warna Truffle Black, Bubblegum Blue, Peach Pink, dan Snowflake White. Bagi anda yang berminat boleh mengunjungi kedai dalam talian rasmi Xiaomi Malaysia di Lazada dan Shopee. Serta di kedai-kedai fizikal Mi Store dan wakil pengedar sah di seluruh negara.

Tinggalkan komentar