Microsoft dilaporkan sedang membangunkan Windows versi ringan untuk digunakan pada peranti dwi-skrin. Dikatakan, pembangunan ini diperlukan bagi menyaingi peranti-peranti berspesifikasi ringan seperti Chromebook.

Terdapat perubahan ketara pada rekaan antaramukanya yang mengutamakan rekaan dwi-skrin. Perkakasan-perkakasan yang menyokong penggunaan Windows versi ini dijangka bakal tiba dalam tahun ini juga.

Portal The Verge memaklumkan menerima maklumat dari sumber yang rapat dengan Microsoft berkenaan pembangunan versi ini yang dirujuk secara dalaman sebagai “Windows Lite”. Kemungkinan peranti dwi-skrin dengan sistem operasi Windows bakal dipertontonkan tidak berapa lama lagi.

Microsoft sebelum ini menyatakan pihaknya membangunkan versi Windows yang antaramukanya berbeza dengan apa yang ditawarkan pada antaramuka Windows 10. Antaramuka penggunanya mungkin hasil gabungan antara Windows Phone Continuum dengan rangka kerja Surface Hub.

Pembangunan Windows versi ringan ini merupakan salah satu usaha Microsoft untuk menyaingi segmen pasaran komputer mudah alih yang kini diungguli oleh Chromebook.

Sumber berita diperoleh dari The Verge, Imej cover dari Petri.com

Tinggalkan komentar