Apabila Microsoft menyatakan akan mengumumkan Windows versi berikutnya pada 24 Jun ini, dijangkakan lebih banyak maklumat mengenainya akan didedahkan. Binaan (build) Windows 11 pertama telah pun ditiriskan awal hari ini dengan tangkapan layarnya telah dikongsikan pertama kali menerusi platform Baidu.

Kini, melalui build yang ditiriskan tersebut iaitu Windows Dev build 21996.1, anda yang berminat boleh mencubanya lebih awal sebelum versi rasminya diterbitkan untuk kegunaan umum.

Dari segi rupa bentuk luarannya, versi build baharu ini memang jelas ianya merupakan kelihatan amat berbeza dengan Windows 10. Namun, disebaliknya kita mungkin dapat merasakan ianya masih lagi sistem operasi yang sama.

Ianya kelihatan ketara sebaik sahaja kita memulakan pertama kali sistem operasi  baharu ini dengan menawarkan versi yang terdiri dari Home, Pro, Enterprise dan sebagainya. Selepas pemilihan versi, anda akan dibawa untuk memilih bagaimana anda melakukan partition untuk drive anda.

Langkah yang berikutnya masih lagi kelihatan hampir sama seperti anda memulakan pertama kali Windows 10 sebelum ini. Hanya rupa luarannya sahaja yang diberikan nafas baharu dengan mengambil inspirasi dari Windows 10X.

Juga, terdapat perubahan pada logo Windows yang kini kelihatan ‘lebih menegak’ berbanding logo terdahulu yang kelihatan ‘menyerong’. Serta kedudukan Start Menu juga telah diubah ke bahagian tengah taskbar.

Windows Search juga telah menerima perubahan baharu pada rekaannya dengan membawakan trend dari Sun Valley UX seperti tetingkap ‘terapung dan terbang’ ke tengah. Carian ini juga boleh ditapiskan hasilnya berdasarkan aplikasi, dokumen, tetapan dan banyak lagi.

Luar Windows 10X dalam Windows 10?

Di dalam File Explorer pula, anda akan mendapati sedikit perbezaan terutamanya pada ikon-ikon baharu yang diperkenalkan. Ianya telah pun diperkenalkan melalui saluran Dev di dalam program Windows Insider sebelum ini.

Tiada sebarang perubahan besar kelihatan pada pelayar Microsoft Edge memandangkan perubahannya tidak terkesan pada perubahan sistem operasi yang digunakan.

Begitu juga pada bahagian Settings yang mana masih lagi mengekalkan ciri yang sama seperti yang terdapat pada Windows 10. Tidak dapat dipastikan jika Microsoft akan mengemaskini bahagian ini sebelum menerbitkan sistem operasi ini kepada orang ramai.

Pun begitu, terdapat beberapa tetapan baharu diperkenalkan. Antaranya pilihan pelangganan (customization) baharu seperti pilihan melakukan penjajaran pada taskbar.

Lain-lain perubahan termasuklah pada virtual desktops, papan kekunci dalam skrin, widget dan sebagainya.

Secara keseluruhannya, ciri-ciri pembaharuan dari pembangunan Windows 10X ke Windows baharu ini lebih kepada bentuk kosmetik dengan sifat dalamannya lebih kurang sama seperti di dalam Windows 10.

Memandangkan Windows baharu ini hanya akan diumumkan secara rasmi pada 24 Jun ini, dijangkakan Microsoft akan membawakan lebih banyak perubahan baharu sebelum ianya diterbitkan pada versi muktamadnya kelak pada tahun ini.

Tinggalkan komentar