Microsoft sedang dalam persiapan untuk memperkenalkan Task Manager di dalam Windows 11. Ia akan disesuaikan dengan tema Fluent Design yang diterapkan oleh Microsoft ke dalam sistem operasi ini.

Pada asalnya, Microsoft telah menyembunyikan rekaan baharu ini di binaan terkini Windows 11. Namun, seorang pelajar kejuruteraan Gustave Monce, telah menemukannya dan berkongsikan menerusi Discord pada minggu ini. Beliau sebelum ini juga pernah mengoperasikan Windows 11 pada sebuah telefon pintar.

Hal ini membuktikan pengguna boleh mengaktifkan Task Manager baharu menerusi pratonton terkini binaan Windows 11. Bagaimanapun, Microsoft masih lagi belum mengumumkan secara rasmi rekaan baharu tersebut.

Gustave Monce turut menyatakan rekaan baharu ini masih lagi peringkat awal kerana didapati masih terdapat banyak ralat. Berdasarkan penemuan beliau, rekaan baharu yang kelihatan sepadan dengan rekaan baharu di dalam Windows 11 ini turut menyertakan mod gelap.

Tab-tab yang sedia ada pada Task Manager telah digantikan dengan bar sisi (sidebar) yang membolehkan anda bertukar-tukar seksyen di dalam aplikasi tersebut.

Task Manager merupakan sebahagian peninggalan zaman silam Windows sejak ia pertama kali diperkenalkan di dalam Windows NT 4.0. Tidak banyak perubahan besar yang diperkenalkan pada aplikasi ini selepas kali terakhir rekaannya diubah di dalam Windows 8, 10 tahun dahulu.

Microsoft masih lagi menjalankan rekaan semula pada sebahagian besar komponen-komponen di dalam Windows. Buat masa ini, aplikasi Media Player baharu masih lagi sedang diuji dan dalam pada masa yang sama, Windows 11 juga akan menerima rekaan baharu aplikasi Notepad yang menyokong mod gelap.

Tinggalkan komentar